Sesiapa yang baik, saya akan ingat sampai mati – Siti Khadijah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Khadijah Halim tidak mampu menahan sebak apabila mengenang kembali layanan baik yang pernah diterimanya daripada rakan-rakan pelakon senior ketika mula bertatih dalam industri seni.

Baginya, perkara yang mungkin dianggap kecil oleh orang lain sebenarnya membawa makna cukup besar buat dirinya yang ketika itu masih berusia 20 tahun dan sedang mencari rentak sebagai seorang pelakon.

“Sesiapa sahaja yang baik dengan saya, saya akan ingat sampai mati. Antara pelakon yang baik dengan saya sejak awal-awal kemunculan saya ialah Mira Filzah, Sherry Alhadad, Eina Azman, Izzaty Abdullah.

“Mereka semua merupakan pelakon yang lebih senior daripada saya, tetapi mereka melayan saya dengan sangat baik. Ketika itu, saya masih seorang diri dan belum mempunyai pembantu. Jadi, perkara-perkara kecil yang mereka lakukan untuk saya sebenarnya cukup besar maknanya,” katanya di ruang Audio Siar Confession Bilik Gelap.

Khadijah turut berkongsi satu pengalaman bersama Mira Filzah yang sehingga kini masih disimpannya sebagai kenangan istimewa ketika menjalani penggambaran pada awal pagi.

“Ketika itu, kami selesai penggambaran sekitar pukul 2 atau 3 pagi. Mira akan menunggu saya masuk ke dalam kereta dan memastikan saya bergerak terlebih dahulu sebelum dia pula meninggalkan lokasi.

“Saya tidak tahu sama ada dia sengaja melakukan perkara itu atau tidak, tetapi bagi seorang Siti Khadijah yang ketika itu baru berusia 20 tahun dan masih terkial-kial untuk meneruskan kehidupan serta mencari rentak dalam industri, perkara seperti itu sangat besar maknanya,” katanya.

Kongsinya lagi, kenangan tersebut membuatkan dirinya sebak apabila mengingati semula fasa awal pembabitannya sebagai seorang pelakon.

“Sekarang apabila bercakap tentang perkara ini, saya menjadi emosional. Benda-benda kecil seperti itulah yang saya simpan dalam hati. Kadangkala orang yang melakukannya mungkin tidak menyedari betapa besar kesannya kepada orang lain.

“Kalau saya hendak menukar pakaian, dia akan menjaga saya seperti adiknya sendiri. Saya tahu dia mungkin tidak suka jika saya bercakap tentang perkara ini, tetapi itulah antara pengalaman yang saya simpan dan akan sentiasa saya hargai,” katanya.

Menurut Khadijah, segala kebaikan yang pernah diterimanya menjadi dorongan untuk dirinya melakukan perkara sama kepada pelakon-pelakon muda yang bakal menyusuri perjalanan dalam industri seni.

“Saya mahu melakukan perkara yang sama kepada junior saya pula kerana saya sendiri pernah menerima kebaikan daripada orang lain. Apabila seseorang melayan kita dengan baik ketika kita masih baharu dan sedang mencari tempat dalam industri, kita akan ingat perkara itu.

“Sebab itu, saya mahu meneruskan kebaikan tersebut kepada orang lain pula,” katanya.

Scroll to Top