PETALING JAYA: Segala tekanan dan penantian yang menghimpit Datuk Azizulhasni Awang akhirnya terlerai dalam tangisan apabila jaguh berbasikal trek negara itu menerima e-mel daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengesahkan khidmatnya masih diperlukan.
Pelumba berusia 38 tahun itu yang sebelum ini menanti kepastian mengenai masa depannya dalam misi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), menerima berita itu sebaik selesai menjalani sesi latihan di trek hari ini, bertepatan sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Lebih menyentuh perasaan, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui seminggu sebelum menerima jawapan berkenaan dirinya bergelut untuk memberi tumpuan ketika latihan kerana fikirannya masih dibelenggu persoalan mengenai masa depan.
“Alhamdulillah, hari ini 31 Ogos, Hari Kebangsaan ke-69. Saya baru buka e-mel di trek selepas sesi latihan selepas seminggu. Memang sepanjang minggu ini saya tidak boleh berlatih. Bila pergi berlatih, fikiran saya kosong.
“Saya buka e-mel dan terima e-mel daripada KBS dan MSN bahawa mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu sebelum saya ke Sukan Komanwel (Glasgow 2026) lagi dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat jawapan itu,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam laman social Facebook miliknya.
Penantian itu jelas memberi kesan mendalam kepada juara dunia keirin 2017 berkenaan sehingga dia mengakui hanya atlet yang pernah berkorban dan melalui tekanan sama demi negara mampu memahami apa yang dirasainya.
“Tidak semua orang memahami perasaan ini. Sekiranya tidak melaluinya, kamu tidak akan memahaminya. Hanya atlet sebenar, hanya yang betul-betul berkorban untuk negara sahaja yang faham bagaimana perasaannya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pengesahan KBS dan MSN itu memberikan laluan lebih jelas buat Azizulhasni untuk meneruskan kempen memburu tiket LA28, selepas sebelum ini statusnya menjadi persoalan sehingga mencetuskan perdebatan mengenai hala tuju skuad berbasikal trek negara.
Azizulhasni turut menggunakan kesempatan itu untuk merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus berdiri di belakangnya ketika berdepan tempoh penuh ketidaktentuan, termasuk mereka yang mengirim mesej serta meninggalkan komen sokongan di media sosial.
“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak pernah minta seorang pun untuk menyokong atau membantu saya, tetapi saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tampil menyokong saya.
“Walaupun melalui teks dan komen, ia membawa makna yang besar dan impak yang besar. Terima kasih kepada semua yang berada di belakang saya. Alhamdulillah, syukur Allah bantu saya dan bantu semua,” katanya.
Kini, selepas jawapan yang dinantikan sekian lama akhirnya berada di tangannya, Azizulhasni mahu mengetepikan segala episod yang mengganggu fikirannya dan kembali memberikan tumpuan kepada tanggungjawab memburu kejayaan untuk Malaysia.
“Seperti biasa, saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan kepada anda semua,” katanya. – UTUSAN
