am@hmetro.com.my
Kuantan: Seramai 12 ‘bayi merdeka’ dilahirkan di lima hospital di Pahang sempena Hari Kebangsaan Ke-69, hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang dalam kenyataan hari ini, memaklumkan daripada 12 bayi itu, masing-masing enam bayi lelaki dan perempuan dilahirkan antara jam 12 tengah malam dan 9 pagi.
“Daripada jumlah itu, lima bayi dilahirkan secara normal manakala tujuh bayi lagi lahir melalui kaedah pembedahan.
“Semua bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat di samping ibu mereka.
“Kelahiran ‘bayi merdeka’ yang pertama direkodkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, pada jam 12.12 pagi.
“Bayi lelaki seberat 3.68 kilogram itu adalah cahaya mata kepada pasangan ibu yang bertugas sebagai penyelia asrama sekolah menengah agama dan bapa yang bekerja sebagai mekanik,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi iaitu enam bayi, diikuti masing-masing dua bayi di HoSHAS dan Hospital Kuala Lipis manakala seorang bayi masing-masing di Hospital Pekan dan Hospital Raub.
“JKN Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada semua ibu bapa yang menyambut kehadiran cahaya mata baharu pada tarikh yang penuh bermakna ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
