Aeril Zafrel tidak halang anak ceburi bidang seni

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Aeril Zafrel, 38, tidak menghalang cahaya matanya menceburi industri hiburan dan memaklumkan anak gadis tersayang, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 11, ada menunjukkan minat dalam lakonan.

Pemilik nama sebenar, Suhairil Sunari ini berkata, dia bagaimanapun ada menghantar Hayla mengikuti pelbagai kelas seni seperti muzik, lakonan, pengacaraan dan sebagainya untuk mengasah bakat.

“Anak saya yang ada tunjuk minat (seni), Hayla sahajalah dalam lakonan. Tetapi, saya juga ada hantar dia sertai macam-macam. Kelas muzik pun, saya ada hantar.

“Cuma, anak-anak saya ini ada sikap ‘introvert’. Jadi, macam mana nak berlakon, nak terkenal kalau ‘introvert’. Tak bolehlah. Tapi, macam dia (Hayla) pandai menari juga sebab pergi ke kelas kan.

“Namun, untuk menyanyi itu pula mungkin kalau dia sendiri ‘consider’ (pertimbangkan) nak naik pentas, boleh saya ajar. Sebab, menyanyi ini kalau awak tak ada bakat, dan hari-hari sudah ‘training’, insya-Allah dapatlah menyanyi ikut nada suara sendiri.

“Apapun, saya tidak ada halangan sekiranya anak-anak ingin terbabit dalam seni. Tetapi, apapun saya tahu jawapan akan diberi (anak-anak) itu nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga jika ada tawaran untuk anaknya dilamar menyertai program mencungkil bakat di televisyen, Aeril berkata dia mungkin akan terus menolak tanpa bertanya dahulu kepada mereka.

“Anak-anak saya pun jarang tengok program televisyen. Jadi, kalau dapat tawaran ke nanti, saya tolak sahajalah. Tidak perlu tanya pun, sebab saya tahu jawapan dia (Hayla) pasti tak nak.

“Dia mungkin nak rasa popular, tetapi dia juga pasti takkan hendak mara ke hadapan. Jadi, hanya sekadar dia buat ‘content’ (media sosial) macam-macam itu sahajalah kot,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan perniagaan kek batik yang dijalankan Hayla sebelum ini, Aeril berkata buat masa sekarang sudah tidak boleh untuk difokuskan kerana anak keduanya itu masih bersekolah.

“Perniagaan (kek batik) itu masih ada lagi. Cuma, ia dah tidak begitu aktif macam sebelum ini. Sebab benda itu (perniagaan) pun perlu komitmen. Jadi, pada dia mungkin apa yang dibuat sudah dirasakan cukup.

“Tetapi, bagi kita (yang dewasa) pula takkan banyak ini sahaja ke yang dapat? Jadi, pembabitannya untuk berniaga itu sekadar pendedahan awal untuk dia cuba ‘explore’ (terokai) sendiri.

“Sebab itu, saya hantar anak-anak ikuti macam-macam kelas seperti main piano, belajar menari, pergi ‘public speaking’, hantar kelas berenang dan sebagainya.

“Semua anak-anak saya memang dihantar ke kelas untuk belajar dan mendapatkan latihan khusus. Bagaimanapun, buat masa ini mereka masih belum terima apa-apa tawaran lagi,” jelasnya.

Aeril mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan usahawan, Wawa Zainal, 35, secara rahsia pada 25 Februari 2012, namun mereka mengumumkannya pada 4 Februari 2013.

Pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 13, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Sofia, 6, dan Muhammad Fahri, 5.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top