redzuan.muharam@hmetro.com.my
Rompin: Peluang kedua untuk hidup selepas sembuh daripada kecederaan otak traumatik (TBI) kira-kira dua tahun lalu tidak disia-siakan lelaki ini yang kini menghidupkan al-Quran dengan mencari rezeki sebagai guru hafazan.
Ahmad Najmuddeen Nasiruddin,33, dari Bukit Ibam, di sini berkata, dia amat bersyukur dengan nikmat itu dan berterima kasih kepada keluarga kerana banyak memberinya semangat hingga kuat menempuh ujian hilang keupayaan berjalan selepas terbabit kemalangan pada 9 Februari 2022.
Lebih membuatkannya terharu kerana ditakdirkan berkahwin pada 2023 dengan rakan sekampus yang sudi menerima keadaannya walaupun tidak boleh berjalan ketika itu.
Berkongsi kisahnya, Ahmad Najmuddeen berkata, kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Kuantan ke Muadzam Shah, Pahang untuk menjalankan tugas sebagai imam di sebuah masjid.
“Kereta dipandu terlanggar lopak air dan selepas itu, saya tak ingat apa yang berlaku.
“Saya koma selama 29 hari dan tersedar selepas dibawa pulang ke rumah. Selepas tersedar, saya nampak ramai orang di sekeliling saya tapi tak boleh bercakap kerana mulut jadi kaku.
“Jadi saya terpaksa berkomunikasi dengan taip perkataan menggunakan papan kekunci.
“Waktu koma, saya tak melalui pengalaman aneh malah berasa macam baru bangun tidur selepas tersedar cuma kaki dan tangan lemah hingga perlu buat fisioterapi kerana sudah lama terlantar,” katanya kepada Harian Metro.
Ahmad Najmuddeen berkata, berat untuknya menerima kenyataan malah pernah melalui fasa patah semangat kerana pergerakannya terbatas selepas disahkan mengalami TBI.
“Sebelum kemalangan, saya aktif dengan rutin kecergasan di pusat gimnasium dan bermain badminton malah hampir setiap hari buat aktiviti itu.
“Tapi selepas kemalangan, dua tahun saya duduk di kerusi roda dan enam bulan menggunakan tongkat sebelum dapat berjalan semula pada 2024.
“Waktu hari perkahwinan pun, saya duduk di atas kerusi roda. Syukur isteri dan keluarga mentua boleh terima sehingga ke hari ini,” katanya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Darul Quran Di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, dia percaya apa yang berlaku ada hikmahnya dan tanda kasih sayang Allah SWT buatnya.
Justeru, pengalaman dilalui akan dikongsikan kepada pesakit TBI lain bagi memberi semangat untuk mereka bangkit daripada kesedihan menerusi perkongsian di TikTok dan kumpulan WhatsApp.
Selagi bernyawa, Ahmad Najmuddeen mahu terus menghidupkan al-Quran dengan berkongsi ilmu yang ada
“Orang lain hanya boleh bagi sokongan, yang penting macam mana kita terima dan belajar menyesuaikan diri.
“Jangan salahkan takdir kerana bila ada pemikiran begitu, kita tak boleh maju ke depan. Pandang daripada sudut positif walaupun perit.
“Terus bersangka baik dengan Allah SWT dan ia juga ingatan buat diri saya sendiri yang belum sihat sepenuhnya kerana pertuturan pun tidak lancar tetapi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
