Ekosistem Warisan Negara perkasa peniaga kecil

PETALING JAYA: Peniaga kecil kini berpeluang memperoleh bekalan pada harga lebih kompetitif sekali gus mengurangkan tekanan operasi dan meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing menerusi Projek Ekosistem Warisan Negara yang dilancarkan hari ini.

Inisiatif yang diterajui bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Azmi Abu Kassim itu bertujuan membantu peniaga kecil mendapatkan bekalan pada harga lebih baik

Selain, mengurus perniagaan dengan lebih cekap serta membina rangkaian perniagaan tempatan yang lebih kukuh.

Azmi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan usaha menangani kos sara hidup tidak hanya bergantung kepada bantuan atau subsidi kerajaan sebaliknya turut melibatkan peranan aktif sektor swasta, pertubuhan dan komuniti perniagaan.

“Kita bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan lain-lain pertubuhan dan sektor swasta dalam memainkan peranan lebih aktif bersama kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup.

“Penyelesaiannya tidak boleh bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata, terutamanya apabila kos barangan dan bekalan terus berubah akibat faktor pasaran global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmi berkata, ketidaktentuan pasaran bahan api global juga berpotensi memberi kesan terhadap kos pengangkutan dan bekalan yang akhirnya boleh meningkatkan harga barangan serta menambah beban perbelanjaan isi rumah.

Jelasnya, pelaksanaan Ekosistem Warisan Negara akan bermula di Melaka dengan tumpuan awal kepada kedai runcit tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Melalui inisiatif itu, peniaga kecil akan dibantu dari aspek penyelarasan bekalan, pengurusan stok dan sokongan operasi, selain diberi peluang untuk membentuk rangkaian peruncitan yang lebih tersusun,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, usaha memperkukuh rantaian bekalan itu diharap dapat membantu mewujudkan harga barangan keperluan harian yang lebih stabil untuk pengguna.

“Konsep tersebut turut memberi tumpuan kepada kekuatan peniaga kecil secara bersama berbanding membiarkan setiap perniagaan beroperasi dan mendapatkan bekalan secara bersendirian,” jelasnya.

Tambahnya, inisiatif itu dirancang untuk diperluaskan secara berperingkat kepada sektor lain yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan rakyat, termasuk perubatan dan pendidikan.

“Langkah itu bertujuan membentuk satu rangkaian perniagaan tempatan yang lebih menyeluruh supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja oleh peniaga, malah oleh pengguna.

“Kekuatan ekonomi tempatan perlu dibina dari peringkat akar umbi supaya masyarakat mempunyai sistem sokongan yang lebih kukuh ketika berdepan perubahan ekonomi dan kenaikan kos,” katanya.

Azmi berkata, inisiatif berkenaan turut mendapat sambutan baik daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, selaras dengan pelbagai usaha Kerajaan Negeri Melaka yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan serta kepentingan rakyat.

“Justeru, orang ramai, khususnya peniaga tempatan, dijemput mengikuti perkembangan inisiatif berkenaan bagi mengetahui dengan lebih dekat peluang penyertaan serta manfaat yang bakal diperkenalkan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top