Kuala Lumpur: Jemputan rasmi ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada bekas Perdana Menteri berdasarkan amalan sejak 2018, menurut Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Penjelasan itu dibuat susulan timbul beberapa pertanyaan berhubung kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada acara sambutan di Dataran Putrajaya pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah memaklumkan tatacara jemputan acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan diuruskan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri.
“Berdasarkan amalan sejak 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihak Urus Setia turut memaklumkan Pejabat Perdana Menteri telah menerima permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara daripada pihak Dr Mahathir yang akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.
Permohonan berkenaan telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].
© New Straits Times Press (M) Bhd
