Kuala Lumpur: Kemunculan robot humanoid HONOR pada perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan bukan saja menarik perhatian kira-kira 100,000 penonton di Dataran Putrajaya, malah menimbulkan persoalan mengenai telefon pintar berwarna ungu yang dibawanya.
Teka-teki itu akhirnya terjawab apabila HONOR mengesahkan peranti berkenaan ialah HONOR X9e Pro, model baharu yang bakal diperkenalkan untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.
Kemunculan robot humanoid itu bersama kontinjen HONOR turut mencuri perhatian kerana ia baru selesai menyertai larian 10 kilometer (km) di Malaysia Marathon 2026, kurang 24 jam sebelum perbarisan bermula.
Dari marathon ke perbarisan Merdeka
Malaysia menjadi negara pertama di luar China yang dipilih sebagai lokasi penampilan antarabangsa robot humanoid HONOR.
Dalam tempoh dua hari berturut-turut, robot berkenaan berjaya melengkapkan larian 10km di jalan raya sebelum tampil pada perbarisan peringkat kebangsaan.
Pencapaian itu membolehkan robot terbabit meraih pengiktirafan Asia Record dan ASEAN Record sebagai robot humanoid pertama melengkapkan larian berkenaan.
Larian itu juga menjadi ujian sebenar terhadap keupayaan keseimbangan, toleransi haba dan ketahanan bateri robot berkenaan ketika berdepan cuaca tempatan.
Telefon ungu jadi perhatian

Bagaimanapun, robot humanoid bukan satu-satunya tarikan pada perbarisan berkenaan.
Telefon pintar berwarna ungu yang berada dalam genggamannya turut mencuri perhatian kerana peranti itu belum dilancarkan secara rasmi.
Pengesahan HONOR mengenai identiti telefon berkenaan memberi gambaran awal kepada pengguna Malaysia mengenai reka bentuk serta pilihan warna baharu HONOR X9e Pro.
Siri HONOR X9 sebelum ini mencatat prestasi jualan positif dalam segmen telefon pintar pertengahan, selain mendapat perhatian pengguna tempatan.
HONOR X9e Pro dijangka meneruskan legasi berkenaan menerusi beberapa penambahbaikan, khususnya dari segi ketahanan fizikal dan jangka hayat bateri.
Malaysia jadi pentas teknologi
Menurut HONOR, pemilihan Malaysia sebagai lokasi penampilan sulung antarabangsa robot humanoid serta pendedahan awal peranti baharu itu mencerminkan kepentingan pasaran tempatan kepada jenama berkenaan.
Langkah memperkenalkan teknologi baharu menerusi acara berskala besar juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia melihat sendiri perkembangan teknologi berkenaan dengan lebih dekat.
Dengan identiti telefon misteri berwarna ungu itu sudah terjawab, HONOR X9e Pro kini dijangka diperkenalkan kepada pengguna tempatan dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
