Warga emas disyaki cuba seludup 6,000 anak pokok dari Thailand ditahan

nfazlina@nstp.com.my

Rantau Panjang: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 6,000 anak pokok dipercayai diseludup dari Thailand di Kampung Padang Licin, di sini, hari ini.

Rampasan jam 12.45 tengah hari oleh Batalion 8 itu turut menahan seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang juga pemandu lori.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu lelaki warga emas dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemui 6,000 pokok cermai, bunga kemboja dan kaktus.

“Kita merampas kesemua pokok berkenaan termasuk lori dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM300,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan sejak lima tahun lalu dan bekerja dengan lelaki Thailand dikenali sebagai Salleh.

“Suspek juga menerima upah RM300 bagi setiap penghantaran anak pokok ke kawasan nurseri di Kedah,” katanya.

Katanya, barang rampasan diserahkan kepada pihak Pertanian Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top