KADA bawa pengalaman jadi pesawah secara maya menerusi simulasi AI

Serdang : Pengalaman menjadi pesawah kini boleh dirasai secara maya apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperkenalkan permainan interaktif berasaskan kecerdasan buatan (AI) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026.

Dikenali sebagai Simulasi Pertanian, ia dibangunkan bagi memberi peluang kepada pengunjung khususnya golongan muda dan masyarakat bandar memahami keseluruhan proses penanaman padi dengan lebih dekat.

Menerusi simulasi itu, pemain akan melalui pelbagai peringkat pengurusan sawah bermula daripada penyediaan tanah, pembajakan, penaburan benih, pembajaan, sehinggalah ke penjagaan tanaman dan proses penuaian.

Hasil tuaian yang diperoleh pemain bergantung sepenuhnya kepada kaedah pengurusan serta penjagaan tanaman yang dipilih sepanjang permainan. Pendekatan interaktif ini memberi gambaran sebenar mengenai cabaran yang perlu dihadapi pesawah bagi memastikan hasil tanaman berada pada tahap optimum.

Menurut Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa, idea berkenaan diketengahkan bagi mendekati generasi muda menerusi pendekatan teknologi yang selari dengan gaya hidup mereka.

Katanya, ia mengetengahkan keseluruhan rantaian penanaman padi, berbanding pendekatan terdahulu yang hanya memberi tumpuan kepada proses penuaian semata-mata.

“Ia bukan sahaja memupuk minat generasi masa kini terhadap teknologi penanaman padi, malah berupaya membuka peluang pekerjaan yang bernilai tinggi dalam sektor agromakanan,” katanya.

Dalam pada itu, KADA terus memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian menerusi penerapan teknologi Internet of Things (IoT) dan penggunaan Sistem Pengurusan Air KADA secara berpusat.

Teknologi IoT membolehkan maklumat berkaitan keadaan sawah dikumpul dan dipantau secara sistematik menerusi penggunaan sensor serta sistem saling berhubung.

Tambah Faizul lagi, pengurusan air, keadaan persekitaran dan pertumbuhan tanaman perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan tanaman berada dalam keadaan optimum.

“Dengan penggunaan teknologi pintar ini, data yang dikumpul dapat membantu pesawah menguruskan sumber air dengan lebih cekap dan tepat. Langkah ini juga membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku sebarang perubahan pada keadaan sawah, sekali gus mengurangkan pembaziran.

“Penerapan teknologi digital bukan sekadar penggunaan peralatan moden, sebaliknya menjadi langkah strategik untuk memperkukuh produktiviti pesawah, menyokong agenda keterjaminan makanan negara, serta mengurangkan kebergantungan terhadap import beras,” tambahnya.

Mengulas mengenai pencapaian KADA, beliau memaklumkan pertumbuhan positif melebihi 35 peratus telah dicatatkan pada tahun 2025, dan sasaran lebih tinggi diletakkan pada tahun ini.

Penggunaan teknologi IoT turut membuktikan keberkesanannya apabila hasil padi kini meningkat sehingga 7 tan sehektar.

Orang ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman ini dijemput hadir ke reruai KADA di Laman Agro Interaktif, Hall C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sepanjang penganjuran MAHA 2026 yang berlangsung sehingga 6 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top