Tahap sara diri beras perlu dipertingkat sekurang-kurangnya 80 peratus

Serdang: Tahap sara diri (SSR) beras negara perlu dipertingkat kepada sekurang-kurangnya 80 peratus bagi memastikan bekalan makanan ruji itu berada pada tahap selesa, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata kadar SSR di bawah 60 peratus belum cukup kukuh dari sudut keterjaminan makanan negara, justeru usaha lebih besar perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Sehubungan itu, Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus memperkukuh ekosistem padi dan beras negara bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

“Antara usaha berkenaan ialah menggalakkan syarikat dan pihak berkemampuan membuka kawasan sawah lebih besar dengan kerjasama kerajaan negeri dalam menyediakan tanah yang bersesuaian.

“Kita mahu meningkatkan produktiviti dan memperkukuh rantaian bekalan menerusi peluasan penggunaan teknologi… kita mahu menggalakkan inovasi dan membuka lebih banyak peluang penciptaan nilai kepada seluruh rantaian industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini hari ini.

Mohamad berkata sektor pertanian kini berkembang dengan menggabungkan penggunaan data, teknologi, automasi, kecerdasan buatan, inovasi dan keusahawanan selain memberi perhatian kepada kelestarian alam sekitar.

Pada masa sama, beliau berkata penggunaan teknologi perlu disertai dengan kerajinan dan kesungguhan bagi memastikan peningkatan produktiviti yang disasarkan dapat dicapai.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata KPKM berhasrat meneroka pendekatan mengintegrasikan ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi bagi menghasilkan dua sumber hasil dari kawasan pertanian sama.

Beliau berkata potensi pendekatan itu dilihat ketika lawatannya ke China dua minggu lepas apabila berkunjung ke kawasan sawah yang mengintegrasikan tanaman padi dengan ternakan udang galah.

“Dalam sawah itu ada udang galah, terdapat dua hasil, satu hasil padi, satu hasil udang….benih udang galah itu dibawa dari Malaysia dan dibiakkan di China.

“Kita perlu lebih proaktif meneroka potensi ternakan udang galah secara bersepadu dengan tanaman padi memandangkan pendekatan itu setakat ini dilaksanakan secara kecil-kecilan,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia mempunyai keadaan cuaca yang lebih sesuai untuk ternakan udang galah sepanjang tahun berbanding China namun potensi mengintegrasikan ternakan itu dengan tanaman padi masih belum diteroka secara meluas.

Beliau berkata pendekatan itu boleh diteliti untuk dilaksanakan pada masa akan datang terutama di sawah yang mempunyai sistem pengairan terjamin sekali gus membolehkan kawasan sama dimanfaat untuk pengeluaran padi dan udang galah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top