Si cilik penghidap meningitis tuberkulosis curi tumpuan berpakaian seragam TUDM

Putrajaya: Meskipun diuji masalah kesihatan akibat penyakit meningitis tuberkulosis, Wan Nur Aidan Wan Khairu Akik berusia lima tahun mencuri tumpuan ramai pada sambutan Hari Kebangsaan apabila hadir bergaya lengkap dengan seragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bapanya, Wan Khairu Akik Wan Sulaiman, 39, berkata kehadiran mereka sekeluarga pada sambutan kali ini bukan sahaja bagi menyemarakkan semangat patriotik, malah memberikan dorongan moral dan kegembiraan buat anak tunggalnya itu.

Beliau berkata anaknya dilahirkan normal sebelum disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia kira-kira dua tahun, yang mengganggu perkembangan fizikalnya.

“Ini merupakan tahun ketiga kami membawa Aidan meraikan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya. Dua tahun sebelum ini anaknya hanya memakai kemeja-T motif Malaysia, namun tahun ini kami membuat keputusan menempah khas pakaian seragam lengkap TUDM untuknya.

“Idea ini timbul kerana minat mendalam saya terhadap TUDM dan cita-cita saya yang tidak kesampaian untuk menjadi tentera udara. Walaupun Aidan anak syurga, saya mahu menyemai semangat keberanian dan cinta akan negara dalam dirinya sejak kecil,” katanya.

Wan Khairu Akik yang bertugas sebagai guru berkata pakaian seragam itu ditempah khas daripada sebuah kedai di Port Dickson dengan kos anggaran RM200 lengkap beret.

Kehadiran Aidan yang segak beruniform turut mendapat perhatian dan dorongan mesra daripada anggota keselamatan yang bertugas di lokasi sambutan.

“Kehadiran kami sekeluarga adalah bukti kasih pada tanah air. Sebagai rakyat Malaysia, jika bukan kita sendiri yang menzahirkan rasa cinta dan bangga pada negara, siapa lagi yang akan melakukannya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana suasana sambutan pada tahun ini berjalan lancar dan meriah, selain cuaca baik yang memberikan keselesaan kepada para pengunjung yang hadir seawal pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top