CHITWAN – Poster orang hilang memenuhi dinding sebuah hospital memaparkan wajah-wajah yang mewakili sebahagian kecil daripada ribuan individu yang masih belum ditemui selepas banjir kilat dahsyat melanda kawasan Himalaya dan memusnahkan penempatan penduduk.Jumlah orang yang gagal dikesan di Nepal dan Tibet kini mencecah lebih 4,247 orang termasuk ratusan warga asing.Dalam tempoh enam hari, hampir 1,000 mayat telah dijumpai pasukan penyelamat Nepal. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut berdepan kesukaran kerana banyak kawasan terpencil hanya dapat diakses menggunakan helikopter tentera.Pasukan penyelamat memaklumkan sukar untuk mereka menganggarkan jumlah mangsa yang masih tertimbus di bawah lumpur tebal dan usaha mengenal pasti mangsa yang terkorban juga berdepan cabaran besar. Sebahagian jasad dihanyutkan begitu jauh sehingga ditemukan di negara jiran, India.Di Chitwan, Nepal, jumlah jasad yang terlalu banyak menyebabkan bilik mayat tidak lagi mampu menampung kesemuanya, sekali gus memaksa pihak berkuasa menyediakan bangunan sementara sebagai tempat menempatkan ratusan jasad.Hospital Universiti Tribhuvan di Kathmandu dibanjiri waris yang berharap menerima khabar mengenai ahli keluarga mereka.Orang ramai turut berpusu-pusu ke balai polis untuk mendaftarkan nama ahli keluarga yang hilang manakala sebahagian yang lain tidak henti-henti memeriksa senarai pesakit demi mencari petunjuk bahawa insan tersayang mereka masih hidup.Keterbatasan maklumat dan keadaan kawasan terjejas yang terputus hubungan sepenuhnya daripada dunia luar memaksa banyak keluarga menghasilkan poster bagi mendapatkan maklumat mengenai ahli keluarga mereka yang hilang.Salah seorang daripadanya ialah Yavraj Lama yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk dua anaknya setelah perkampungan mereka di Jaydada, daerah Rusawa dihanyutkan arus deras banjir.”Kami masih terpinga-pinga dan tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan kesedihan serta keperitan yang kami alami. Seluruh kampung sudah lenyap.”Kami berusaha mencari ahli keluarga yang hilang meskipun peluang untuk menemui mereka semakin tipis,” ujarnya hiba.Bagi sesetengah keluarga, kehilangan yang begitu besar amat sukar untuk diterima.Tulmaya Tamang, 36, hadir ke hospital dengan membawa poster beberapa daripada 12 ahli keluarganya termasuk anak saudara perempuannya berusia lima bulan.”Keluarga kami kini berada dalam tekanan yang amat berat kerana ramai yang terkoban. Kami cuma berharap dapat menemukan jasad mereka meskipun sudah tidak bernyawa lagi.”Sekurang-kurangnya kami dapat sedikit ketenangan dan berpeluang menguruskan pengebumian mereka dengan sempurna,” katanya,” katanya.Ketika ini, sebahagian keluarga termasuk Sushisha Maluwar masih berharap keajaiban berlaku.”Kami belum berputus asa dan telah mendaftarkan nama adik saya di hospital serta menampal gambarnya di merata tempat.”Mungkin dia sudah diselamatkan atau berjaya melarikan diri daripada banjir itu dan masih hidup,” menurutnya yang terus menanti dengan penuh harapan. – Agensi
