‘Lapar? Makan orang kaya!’ – Ribuan rakyat Indonesia turun ke jalanan

‘Lapar? Makan orang kaya!’ – Ribuan rakyat Indonesia turun ke jalanan

JAKARTA – Ribuan rakyat Indonesia membanjiri jalan raya di ibu negara dan beberapa bandar utama pada Rabu bagi membantah tekanan ekonomi, dakwaan rasuah serta kegagalan kerajaan menangani kebakaran hutan yang mencetuskan krisis jerebu beracun.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan sambil membawa sepanduk dengan mesej provokatif termasuk ‘Lapar? Makan orang kaya!’ dan ‘Jika kami terbakar, kamu juga akan terbakar’.

Ramai turut mengangkat tabik tiga jari yang menjadi simbol penentangan dalam francais filem distopia The Hunger Games, sebagai tanda bantahan terhadap pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Menurut AFP, demonstrasi itu mencerminkan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, kelemahan nilai mata wang serta dakwaan rasuah dan kecenderungan autoritarian dalam pentadbiran kerajaan.

Polis bertembung dengan penunjuk perasaan ketika demonstrasi membantah kesusahan ekonomi, dakwaan rasuah kerajaan dan jerebu toksik akibat kebakaran hutan. - FOTO: AFP

Polis bertembung dengan penunjuk perasaan ketika demonstrasi membantah kesusahan ekonomi, dakwaan rasuah kerajaan dan jerebu toksik akibat kebakaran hutan. – FOTO: AFP

Seorang penunjuk perasaan dikenali sebagai Sekar, 37, mengakui kecewa melihat penderitaan rakyat yang terpaksa berdepan kebakaran hutan dan jerebu berbulan-bulan ketika harga barangan terus meningkat.

“Saya datang dari rumah dengan niat melindungi pelajar yang menganjurkan demonstrasi ini.

“Jika ada anggota polis bertindak kasar terhadap mereka atau cuba membawa mereka pergi, saya akan menjadi orang pertama tampil mempertahankan mereka,” katanya kepada AFP.

Penganjur demonstrasi turut menuduh pentadbiran Prabowo lebih mengutamakan kepentingan golongan pemerintah berbanding kebajikan rakyat, selain mendakwa wujud kelemahan dalam pengurusan ekonomi, eksploitasi alam sekitar dan kemerosotan kedaulatan undang-undang.

Anggota polis rusuhan membentuk benteng menggunakan perisai dengan sokongan kenderaan meriam air ketika demonstrasi. - FOTO: AFP

Anggota polis rusuhan membentuk benteng menggunakan perisai dengan sokongan kenderaan meriam air ketika demonstrasi. – FOTO: AFP

Ketegangan tercetus apabila penunjuk perasaan bertembung dengan anggota keselamatan berhampiran Bundaran Hotel Indonesia (HI), sebuah kawasan tumpuan perniagaan dan kedutaan asing di pusat Jakarta.

Polis melepaskan beberapa das gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai, manakala sebahagian peserta demonstrasi membaling botol plastik berisi air ke arah anggota keselamatan dan membakar sampah di jalan raya.

Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 14,000 anggota polis bersama tentera dikerahkan bagi mengawal keadaan sepanjang demonstrasi berlangsung.

Sebahagian besar penunjuk perasaan mula bersurai apabila hujan turun kira-kira enam jam selepas bantahan bermula.

Selain Jakarta, demonstrasi turut berlangsung di Bandung, Malang, Yogyakarta dan Makassar, mencerminkan bantahan yang merebak ke beberapa wilayah Indonesia. – AFP

Scroll to Top