PGA kesan sindiket penyeludupan PATI guna dron elak dikesan

PGA kesan sindiket penyeludupan PATI guna dron elak dikesan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan tindakan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini menggunakan dron bagi mengesan pergerakan pasukan keselamatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, selain penggunaan teknologi berkenaan, sindiket terbabit turut menggunakan media sosial untuk urusan komunikasi bagi mengelak dikesan.

“Modus operandi sindiket ini memang berubah mengikut keadaan dan tahap kawalan di sempadan. Selain menggunakan Sungai Golok dan pangkalan haram, kita kini mengesan pergerakan yang beralih kepada laluan laut, sungai-sungai kecil dan Sungai Kelantan bagi mengelak dikesan.

“Selepas masuk ke Malaysia, PATI akan dibawa ke lokasi transit sebelum dihantar menggunakan kenderaan persendirian, e-hailing (e-panggilan) atau pengangkutan awam ke destinasi masing-masing.

“Kita juga mengesan pembabitan ejen, tekong dan runner tempatan yang menguruskan pergerakan mereka. Sindiket turut menggunakan komunikasi media sosial dan teknologi seperti dron bagi memantau pergerakan pasukan keselamatan.

“Jadi, kita melihat sindiket sentiasa menukar laluan, masa dan kaedah. Sebab itu strategi penguatkuasaan PGA juga perlu sentiasa disesuaikan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu. ketika ditanya cabaran dihadapi PGA bagi menangani kegiatan penyeludupan PATI, Ahmad RadI berkata, antara cabaran utama ialah bentuk muka bumi yang luas dan kompleks, dan Sungai Golok yang panjang.

Selain itu katanya, terdapat sungai-sungai kecil, hutan, kebun, lorong tikus serta banyak laluan tidak sah yang menyukarkan pihaknya untuk mengesan pergerakan penyeludup dan PATI.

“Cabaran lain ialah modus operandi sindiket yang sentiasa berubah. Apabila satu laluan diperketatkan, mereka akan mencari laluan baharu, termasuk laluan laut dan sungai kecil.

“Selain itu, faktor keselamatan anggota juga perlu diberi perhatian berikutan kemungkinan mereka mempunyai senjata.

“Bagaimanapun, perkara ini tidak menghalang Briged Tenggara PGA daripada terus melaksanakan tugas. Sebaliknya, kita perlu sentiasa menyesuaikan strategi, memperkukuhkan risikan dan meningkatkan kerjasama antara agensi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top