UFC tetap gegar Arab Saudi, Qatar

UFC tetap gegar Arab Saudi, Qatar

London: Dana White mengesahkan UFC tetap akan meneruskan penganjuran acara yang dijadualkan berlangsung di Asia Barat meskipun ketegangan di rantau itu semakin memuncak.

Arab Saudi ketika ini berdepan konflik yang semakin meruncing dengan kumpulan Houthi sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan menjelang pertarungan Canelo Alvarez menentang Christian Mbilli di Arab Saudi pada malam Halloween.

UFC dijadual menganjurkan acara Fight Night di Qatar pada 21 November dan Arab Saudi pada 5 Disember ini.

Bagaimanapun, meskipun kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini menasihatkan rakyatnya mengehadkan perjalanan tidak penting ke Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain mengarahkan diplomat meninggalkan kedutaan mereka, White menegaskan kedua-dua acara itu tetap berlangsung mengikut jadual.

Pada sidang media selepas UFC 333 di Abu Dhabi kelmarin, promotor berpengalaman itu berkata: “Saya tidak boleh memberitahu acara sukan lain apa yang perlu mereka lakukan. Itu urusan mereka.

“Kami tetap pergi. Kami akan teruskan. Apabila kami mempunyai perjanjian, kontrak dan tarikh yang ditetapkan, kami akan berada di sana.”

Ketika diasak dengan soalan lanjut, White, 57, menegaskan pendiriannya.

“Awak dengar apa yang saya baru beritahu lelaki itu tadi? Apabila kami mempunyai kontrak, kami akan menunaikannya. Kami akan berada di sana. Kami akan ke Arab Saudi. Kami akan ke Arab Saudi, Qatar dan Abu Dhabi,” katanya.

Acara UFC terbaharu di Qatar, yang kini menjadi destinasi tahunan organisasi itu, bakal menyaksikan pertarungan kejuaraan kelas light heavyweight antara bekas juara, Jiri Prochazka dan pencabar yang sedang meningkat naik, Navajo Stirling, sebagai acara utama.

Sementara itu, pertarungan kelas middleweight antara bekas juara, Israel Adesanya dan Shara Bullet dijangka menjadi acara utama di Arab Saudi, meskipun perlawanan itu belum diumumkan secara rasmi.

UFC 333 yang berlangsung di Etihad Arena, Abu Dhabi, pula menampilkan pertarungan kejuaraan kelas featherweight antara juara, Alexander Volkanovski dan Movsar Evloev sebagai acara utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top