JAKARTA – Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda Laut Banda di timur Indonesia pada awal pagi Khamis, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Maluku dan Papua.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Wijayanto berkata gempa bumi itu berlaku pada 5.06 pagi waktu tempatan (6.06 pagi waktu Malaysia), dengan pusat gempa terletak kira-kira 203 kilometer (km) ke barat laut Kepulauan Tanimbar di wilayah Maluku.
Wijayanto berkata kekuatan gempa bumi itu pada awalnya dilaporkan pada magnitud 6.4, namun kemudian disemak semula selepas analisis lanjut, dengan kedalamannya dikemas kini kepada 164 km.
“Berdasarkan hasil pemodelan tsunami, gempa bumi ini tidak berpotensi mencetuskan tsunami,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Wijayanto berkata gegaran direkodkan pada intensiti III mengikut skala Modified Mercalli Intensity (MMI), yang menunjukkan gegaran ringan dirasai di dalam bangunan di Banda Naira dan Tanimbar di Maluku, Kaimana di Papua Barat serta Sorong di Papua Barat Daya.
Beliau berkata tiada kejutan lanjur dikesan setakat 5.30 pagi waktu tempatan. BMKG akan terus memantau aktiviti seismik dan memberikan maklumat terkini.
Beliau menggesa penduduk supaya kekal tenang, menjauhi bangunan yang rosak akibat gempa bumi dan hanya merujuk maklumat yang disahkan menerusi saluran rasmi BMKG. – Bernama
–



