Daripada stres hingga hutang serius, KPM kesan 691 guru perlu sokongan psikologi!

Daripada stres hingga hutang serius, KPM kesan 691 guru perlu sokongan psikologi!

Seramai 691 guru dikenal pasti memerlukan intervensi segera bagi menyokong kesejahteraan psikologi mereka berdasarkan saringan Kementerian Pendidikan (KPM) yang melibatkan 82,126 guru di seluruh negara.

Foto: Berita Harian

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, saringan menerusi Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) mendapati 636 guru berada pada tahap sederhana, manakala 32 pada tahap sederhana rendah dan 23 pada tahap rendah.

Jumlah berkenaan mewakili 0.84 peratus daripada keseluruhan guru yang disaring.

Selebihnya, iaitu 99.16 peratus, menunjukkan tahap kesejahteraan psikologi yang baik, dengan 50,869 guru berada pada tahap tinggi dan 30,566 pada tahap sederhana tinggi.

“Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM akan terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru yang dikenal pasti memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) mengenai bilangan guru yang menghadapi masalah kesihatan dan kecelaruan mental serta bantuan disediakan kementerian.

Menurut Fadhlina, sokongan diberikan melalui perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang merangkumi aspek pembangunan, pencegahan serta pemulihan.

Bantuan itu termasuk sesi kaunseling individu dan kelompok, ujian psikologi, bimbingan, konsultasi serta program pengurusan stres dan sokongan emosi.

Pelaksanaan intervensi bermula dengan mengenal pasti keperluan setiap individu sebelum bentuk bantuan bersesuaian ditentukan.

Foto: Utusan Malaysia

“Antara langkah intervensi yang dilaksanakan akan berfokus isu dan keperluan individu, merangkumi pengurusan kewangan, masalah hutang yang serius, prestasi sederhana dan isu berkaitan kesihatan mental,” jelasnya.

Bagi individu yang berdepan krisis, intervensi turut membantu menstabilkan emosi, mengenal pasti sumber sokongan dan merangka tindakan untuk kembali berfungsi dengan baik.

“Usaha ini bertujuan membantu guru kembali stabil dan berfungsi dengan baik serta dapat meneruskan kehidupan dan kerjaya secara lebih berdaya tahan,” tambahnya lagi.

Dalam usaha memperbaiki persekitaran kerja warga pendidik, KPM turut menyediakan peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi menaik taraf bilik guru, termasuk tambahan baharu sebanyak RM100 juta.

Fadhlina berkata, penyediaan ruang kerja yang selesa, kemudahan asas lebih baik dan suasana kondusif turut menyumbang kepada kesejahteraan fizikal, emosi serta psikologi guru.

KPM, katanya, akan terus memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling dengan menyediakan intervensi mengikut keperluan warga pendidikan.

Sumber: Berita Harian (Noor Atiqah Sulaiman)

Scroll to Top