Rakyat Jepun pertama ke angkasa lepas meninggal dunia pada usia 84 tahun

TOKYO – Toyohiro Akiyama, yang mencipta sejarah sebagai rakyat Jepun pertama ke angkasa lepas, meninggal dunia pada usia 84 tahun, menurut anggota keluarganya, lapor Kyodo News.

Akiyama yang berasal dari Tokyo menjadi angkasawan menerusi proses pemilihan dalaman di Tokyo Broadcasting System Television Inc., sebelum berada di stesen angkasa Mir pada Disember 1990 dan dikenali menerusi kata-kata pertamanya di angkasa, “Adakah saya sedang ke udara?”

Selepas menyertai syarikat penyiaran itu pada 1966, beliau membuat liputan politik dan hal ehwal antarabangsa sebelum dilantik sebagai ketua biro syarikat berkenaan di Washington.

Beliau memohon untuk menjadi angkasawan selepas menjadi editor di jabatan hal ehwal antarabangsa.

Akiyama meninggalkan bidang penyiaran beberapa tahun selepas kembali ke Bumi dengan berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada isu alam sekitar sambil menceburi bidang pertanian.

Beliau kemudian berpindah ke Wilayah Fukushima, menjalankan kegiatan pertanian dan terus menulis.

Akiyama menetap di Wilayah Mie sejak 2017.

Pada 2011, beliau dilantik sebagai profesor di institusi yang kini dikenali sebagai Kyoto University of the Arts. – Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top