El Nino, tiada tanda jerebu akan reda waktu terdekat

PETALING JAYA: Jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di Malaysia dijangka tidak akan pulih dalam masa terdekat susulan keadaan cuaca kering serta fenomena El Nino yang sedang berlaku.

Pakar Kesihatan Persekitaran, Profesor Dr. Juliana Jalaludin berkata, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada faktor meteorologi, namun setakat ini tiada tanda-tanda menunjukkan jerebu di negara ini akan pulih dalam masa terdekat.

Beliau berkata, September sememangnya antara bulan yang menyaksikan keadaan jerebu menjadi lebih serius di negara ini berdasarkan sejarah dan penyelidikan yang dilakukan sebelum ini.

“Saya ingat lagi kajian saya pada 1994, memang mendapati bahawa September merupakan antara bulan yang serius akan berlaku masalah jerebu.

“Dan isu jerebu bukan satu perkara baharu, ia merupakan skrip lama terutama apabila berlaku pembakaran di Kalimantan, Indonesia. Saya tidak jangka masalah ini akan cepat hilang, ia bergantung pada keadaan meteorologi dengan ramalan dari masa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, empat lokasi di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap bahaya dengan daerah Serian menjadi kawasan paling terjejas dan ‘diambang’ darurat apabila merekodkan bacaan 438, semalam.

Berdasarkan data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) stesen pemantau kualiti udara di IPD Serian masih merakamkan bacaan IPU tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 396, menurun berbanding 408 pada jam 8 pagi tadi.

Kuching pula merekodkan bacaan 407, diikuti Samarahan (372), Sri Aman (361) dan Sarikei (333), sekali gus menjadikannya kawasan yang terjejas paling teruk akibat masalah jerebu yang melanda.

Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilaporkan akan melaksanakan Operasi pembenihan awan (OPA) di Sarawak, Kedah dan Perlis, susulan catatan IPU yang semakin teruk itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut akan bermula pada 3 hingga 5 September ini menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam padai itu, Juliana tidak menolak kemungkinan keadaan jerebu pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini susulan pembakaran melibatkan kira-kira 94,000 hektar di negara jiran.

“Kebakaran tersebut tidak terhenti di situ sahaja, tetapi ia merebak ke kawasan lain, bukan berlaku dekat satu kawan sahaja. Malah, kebakaran di komuniti seperti membakar sampah juga menyumbang.

“Di Palangkaraya sahaja indeksnya sudah melebihi 500. Jika ikut, APIMS di Serian dan Sri Aman pula sudah lebih 200 hingga terpaksa menutup banyak sekolah kerana beri kesan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan peningkatan kesedaran terhadap kualiti udara dan kesihatan sebagai satu petanda yang baik, selain perlu diteruskan bukan sahaja ketika musim jerebu.

“Kita ada pencemaran udara daripada industri dan trafik yang mungkin tanpa sedar, sudah memberi kesan terhadap kesihatan diri kerana pendedahan itu,” katanya.

Tambahnya, isu jerebu perlu ditangani secara tegas oleh Malaysia dengan sokongan negara-negara ASEAN, termasuk Indonesia.

“Kita tidak boleh salahkan Indonesia sahaja, semua kena bagi kerjasama yang penuh antara Malaysia dan negara-negara ASEAN lain untuk membendung perkara yang sama ini,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top