SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan sama ada kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi atau terdapat agenda lain di sebalik peruntukan hampir RM1 bilion yang didakwa tidak disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurut beliau, perkara itu perlu dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan kerana terdapat kontraktor yang telah melaksanakan projek di bawah KKDW namun masih belum menerima bayaran.
Justeru, Muhamad Akmal meminta penjelasan kerajaan berhubung alasan peruntukan yang telah diluluskan dan dibajetkan itu tidak disalurkan kepada KKDW.
“Saya hendak tanya kenapa tidak bagi bajet yang telah dibajetkan ini? Kerajaan sudah tak cukup duit ke ataupun ada agenda lain di sebalik bajet ini tidak diberikan kepada kementerian?
“Tolong Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan tolong jawab soalan ini kerana apa? Disebabkan kelemahan kita, akhirnya ramai kontraktor-kontraktor dekat bawah ini hampir bankrap, hampir gulung tikar (dan) ada yang nak disaman,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook miliknya pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat teguran berkaitan isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunanan di bawah kementeriannya.
Menurut Ahmad Zahid, beliau tidak marah, namun agak ‘panas’ apabila masih terdapat sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB) berdepan kelewatan pembayaran.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau memaklumkan, sebelum ini, pihaknya didatangi kontraktor yang mengadu mengenai masalah bayaran bagi kerja yang sudah dilaksanakan hampir setiap hari.
“Apabila masalah ini kita kemukakan kepada KKDW, jawapan hari ini daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW yang mengatakan bahawa ada hampir lebih kurang dalam RM1 bilion lebih rupa-rupanya bajet tidak diberikan kepada Kementerian KKDW,” ujarnya lagi.
Menurutnya, penjelasan terbabit menunjukkan hampir RM1 bilion peruntukan yang telah dibentangkan, diberikan dan diluluskan sebelum ini masih belum disalurkan kepada KKDW.
“Saya hendak tanya kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri kenapa perkara ni berlaku. Sudah hampir dekat empat bulan, ada ramai lagi kontraktor kita yang dekat bawah ini sudah buat kerja.
“Kerja ini bukan kerja yang tiba-tiba kita hendak buat. Semua projek yang nak dibuat ini adalah projek-projek yang telah dibajetkan.Maksudnya bajet ini dah diluluskan,” kongsinya lagi.
Muhamad Akmal menambah, kelewatan pembayaran itu akhirnya memberi tekanan kepada kontraktor yang terbabit sehingga ada antara mereka berdepan risiko gulung tikar dan tindakan saman.
