Kemelut pengagihan kerusi antara MCA dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum menemui penyelesaian apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan terlalu awal untuk menganggap rundingan kedua-dua pihak sebagai perkembangan positif.
Pendirian itu sekali gus memberi gambaran berbeza daripada kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyifatkan pertemuan bersama kepimpinan MCA berlangsung secara positif.
Ka Siong menjelaskan, perbincangan selama kira-kira dua jam bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada malam tadi masih belum mencapai matlamat yang diharapkan.
“Berhubung kenyataan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai perkembangan ‘positif’, saya berpandangan bahawa kita masih belum mencapai matlamat tersebut.
“Adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini.
“Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan dan saya berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pertemuan yang diadakan atas arahan Ahmad Zahid itu berlangsung di sebuah hotel bermula kira-kira jam 11 malam hingga 1 pagi dalam suasana tenang dan mesra tanpa sebarang pertengkaran.
Bagaimanapun, Ka Siong menegaskan MCA tetap menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengagihan kerusi PRN Melaka yang menjadi punca pertikaian antara kedua-dua pihak.
“MCA sentiasa berpegang pada prinsip dengan mengemukakan fakta, hujah secara rasional dan mengadakan perbincangan secara berhemah.
“Apabila timbul perbezaan pendapat, kami berusaha menyelesaikannya melalui rundingan dan dialog,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebarang keputusan mengenai pendirian MCA serta langkah seterusnya dalam menghadapi PRN Melaka akan ditentukan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Terdahulu, kemelut berkenaan tercetus selepas beberapa pemimpin MCA meninggalkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Sabtu lalu.
MCA mendakwa pihaknya hanya dimaklumkan mengenai pelancaran jentera pilihan raya, selain mendakwa keputusan pengagihan kerusi dan pengumuman calon dibuat tanpa rundingan serta persetujuan parti itu.

BN sebelum ini mengumumkan 21 calon termasuk dua wakil MCA, iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Wira Lim Ban Hong di Klebang.
Ahmad Zahid turut mengakui Ka Siong terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana tidak menerima makluman daripada sekretariat, namun menjelaskan ruang rundingan masih terbuka memandangkan watikah calon belum ditandatangani.
Sementara itu, Zambry sebelum ini memberi jaminan bahawa sebarang pertikaian dalam gabungan akan ditangani melalui semangat kerjasama BN.
PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini, dengan penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Sumber: FB 魏家祥





