Kes terowong dasar laut Pulau Pinang ditutup

Kes terowong dasar laut Pulau Pinang ditutup

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir lima tahun melalui proses perbicaraan, pasukan pendakwaan menutup kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Azura Alwi selepas saksi terakhir pendakwaan selesai memberi keterangan hari ini.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan seorang saksi kepada pihak pembelaan iaitu Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Rajendran P Anthony untuk dipanggil jika Guan Eng diperintahkan membela diri.

Rajendran adalah Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang ketika projek terowong dasar laut itu dicadangkan pada 2011 dan turut terbabit dalam perbincangan awal dengan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd mengenai penyediaan dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) projek terowong berkenaan.

“Alhamdulillah, pertama kali kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan (Hakim) kerana sabar mendengar kes ini selama lima, enam tahun.

“Jadi saya dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan Datuk Rajendran kepada pihak pembelaan sekiranya pembelaan dipanggil,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis, manakala hujahan lisan ditetapkan pada 26 dan 27 Januari.

Pada prosiding hari ini, Guan Eng diwakili peguam Ramkarpal Singh, RSN Rayer, Mohd Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah manakala pendakwaan dikendalikan Wan Shaharuddin bersama pasukannya iaitu Mahadi Abdul Jumaat, Khairunnisa Hazwani Omar, Farah Yasmin Salleh dan Julaila Jamaludin.

Perbicaraan kes itu bermula pada 13 Julai 2021 dengan Datuk Geethanjali Gausillia Kathirvalu iaitu isteri ahli perniagaan Datuk Seri G Gnanaraja menjadi saksi pendakwaan pertama.

Seramai 38 saksi pendakwaan dipanggil dalam perbicaraan selama 110 hari, antaranya saksi utama iaitu bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang mula memberi keterangan pada 17 Disember 2021.

Selain itu, saksi lain yang dipanggil bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus; bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; G Gnanaraja dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli yang juga pegawai penyiasat kes berkenaan.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana membabitkan beberapa peristiwa penting antaranya kematian bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5.37 pagi, 5 Oktober 2021.

Mahkamah diberitahu mendiang Swee Kheng sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-15 pada 29 November tahun sama, namun meninggal dunia sebulan sebelum itu.

Sijil kematiannya kemudian dikemukakan oleh pihak pendakwaan melalui keterangan saksi pendakwaan ke-10, Penolong Penguasa SPRM, Syed Muhammad Fadzli Syed Hussin pada perbicaraan itu.

Selain itu, Gnanaraja juga pernah diserang perompak bersenjata di kediamannya di Petaling Jaya dan memohon kepada mahkamah supaya diberi perlindungan polis kerana bimbang keselamatannya terancam.

Guan Eng, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta bagi dirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad, dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top