mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Ong Kim Swee bukan pengarah teknikal baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya kekal menerajui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Bekas pengendali Sabah FC itu masih menjalankan tugas dalam jawatan sedia ada dan tiada pelantikan rasmi dibuat FAM untuk membawanya kembali mengisi posisi yang pernah disandangnya sebelum ini.
Sumber dalaman FAM memaklumkan, badan induk itu belum membuat keputusan mengenai individu yang bakal mengisi kekosongan jawatan pengarah teknikal selepas Scott O’Donell meninggalkan posisi berkenaan susulan kontraknya berakhir.
“Pemilihan pengarah teknikal baharu FAM akan dilakukan selepas perbincangan bersama barisan kepimpinan FAM terlebih dahulu sebelum mengenal pasti beberapa individu berkelayakan.
“Pemilihan hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama barisan kepimpinan FAM sebelum beberapa individu berkelayakan dikenal pasti,” kata sumber berkenaan.
Ketiadaan O’Donell menyebabkan FAM ada kalanya mendapatkan bantuan Kim Swee untuk melaksanakan tugas yang ditinggalkan, namun perkara itu tidak bermaksud beliau sudah dilantik sebagai pengarah teknikal baharu.
Kim Swee sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Teknikal FAM sebelum berundur pada 2022.
Beliau kemudian membimbing Sabah FC dan mengendalikan kelab di Indonesia sebelum kembali ke tanah air untuk mengetuai NFDP.
Laporan portal Twentytwo13 sebelum ini mendakwa Kim Swee mengesahkan ditawarkan semula jawatan Pengarah Teknikal FAM ketika berada di Baku, Azerbaijan, bagi menghadiri Festival dan Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) FIFA 2026.
Bagaimanapun, sumber dalaman FAM menegaskan tiada pelantikan rasmi dibuat setakat ini dan Kim Swee masih kekal dengan tanggungjawabnya dalam NFDP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




