‘Saya hadir untuk lihat sambutan rakyat’ – Tun M

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kehadiran beliau ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya adalah untuk melihat sendiri sambutan rakyat terhadap hari bersejarah negara itu.

Lebih membanggakan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sambutan berkenaan berlangsung meriah dengan penyertaan golongan muda daripada pelbagai kaum.

“Saya ke Perarakan Merdeka di Putrajaya untuk melihat sambutan rakyat. Saya gembira kerana sambutannya masih hangat.

“Tidak benar dakwaan kononnya anak muda tidak menghargai kemerdekaan. Saya melihat ramai anak muda Melayu, Cina dan India dalam kalangan pemerhati. Wajah mereka ceria dan jelas mereka sedang menyambut kemerdekaan seolah-olah baru merdeka selepas dijajah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Dr Mahathir mencuri perhatian apabila hadir ke Dataran Putrajaya bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Menerusi siaran langsung TikTok @chedetofficial, negarawan berusia 101 tahun itu dilihat melambaikan tangan kepada pengunjung sambil menaiki kerusi roda elektrik.

Kehadiran beliau sebelum ini turut mendapat perhatian ramai sehingga Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 tampil memberikan penjelasan berhubung tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi sambutan berkenaan.

Dr Mahathir berkata, semangat patriotisme dalam kalangan anak muda amat penting bagi memastikan negara terus dipertahankan dan kekal kukuh.

“Semangat seperti ini akan mengekalkan negara. Tiada yang lebih mulia daripada mempertahankan negara tercinta,” katanya.

Scroll to Top