nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Enam lokasi di Sarawak masih merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap bahaya dengan bacaan IPU melebihi 300 setakat jam 2 petang tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Serian merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 389 diikuti Kuching (374), Samarahan (339), Sri Aman (349), Sarikei (331) dan Sibu (327).
Sementara itu, tiga lagi lokasi di Sarawak iaitu Bintulu (247), Mukah (239) dan Samalaju (236) masih merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat.
Empat lagi lokasi di Sarawak iaitu ILP Miri (189), Kapit (185), Miri (184) dan Limbang (170) merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Selain itu, enam lagi lokasi yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Kota Kinabalu (176), Labuan (170), Kimanis (161), Keningau (157), Politeknik Kota Kinabalu (154) dan Tawau (151).
Satu lagi lokasi yang merekodkan IPU tidak sihat di Semenanjung adalah di Johan Setia, Selangor dengan bacaan 154.
Terdahulu, media melaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di tiga negeri iaitu Sarawak, Kedah dan Perlis dari 3 hingga 5 September ini susulan keadaan jerebu yang semakin teruk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, OPA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dilaksanakan secara berperingkat di lapan lokasi di Sarawak iaitu Empangan Batang Ai, Bakun, Murum, Bengoh, Gerugu, Assyakirin, Sika dan Matang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

