Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak tanggapan bahawa golongan anak muda hari ini tidak menghargai kemerdekaan negara.
Saksikan sendiri SHKM
Menerusi hantaran di media sosial, beliau menyatakan perkara itu dilihat sendiri ketika beliau hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya semalam yang turut mendapat sambutan hangat daripada rakyat termasuk golongan muda pelbagai kaum.
“Saya gembira kerana sambutan masih hangat (betul-betul hangat). Tak benar sangkaan kononnya anak muda tidak hargai merdeka,” tulisnya.
Lihat ramai anak muda pelbagai bangsa
Dr. Mahathir menambah, beliau melihat ramai anak muda Melayu, Cina dan India berada dalam barisan pemerhati ketika sambutan berkenaan.
“Muka mereka ria dan jelas mereka sedang sambut kemerdekaan seolah-olah mereka baru merdeka selepas dijajah,” katanya.
Beliau turut menyatakan semangat sedemikian penting dalam memastikan kelangsungan negara pada masa akan datang.
“Semangat seperti ini akan kekalkan negara. Tidak ada yang lebih mulia daripada mempertahankan negara tercinta,” katanya.
Foto: Mukhriz Mahathir
Sebelum ini, kehadiran Dr. Mahathir di Dataran Putrajaya bagi melihat Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bagi tahun 2026 menjadi perhatian apabila foto-foto beliau duduk di kerusi roda sambil menyaksikan perarakan tular di media sosial.
Walau bagaimanapun, beliau tidak mengulas isu tersebut dan hanya menyuarakan rasa bangga apabila melihat anak muda di Malaysia tetap menghargai kemerdekaan tanah air yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.
Sumber: Facebook Dr Mahathir Mohamad
