Georgia, Amerika Syarikat: Tindakan seorang guru di Atlanta di sini menyediakan ‘sudut kentut’ khas untuk pelajar melepaskan angin di dalam kelas menjadi tular dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai, lapor portal berita Fox News.
Peribahasa lama menyebut, ‘keperluan ialah ibu kepada penciptaan’ dan perkara itu mungkin paling tepat menggambarkan idea guru berkenaan yang menyediakan ruang khas untuk pelajarnya melepaskan angin.
Ia bukan sekadar kiasan sebaliknya sudut khas di dalam bilik darjah yang membolehkan pelajar pergi ke situ untuk melepaskan angin sebelum kembali ke tempat masing-masing.
Menurut NBC San Diego, guru darjah dua, Candy Sydney-Browning mengambil langkah itu selepas tidak tahan dengan ketidakupayaan murid-muridnya mengawal angin dalam badan.
“Perut saya sangat sensitif, jadi saya tidak boleh bertoleransi dengannya. Oleh sebab itu, saya fikir baiklah, saya akan cipta kawasan kecil di sebelah sini dan kamu cuma perlu bangun, pergi ke sana, selesaikan urusan kamu, datang semula dan itu sahaja,” katanya.
Sudut berkenaan kemudian dinamakan ‘Kawasan Angin Kencang’ dan dilengkapi penyembur udara bagi membantu mengurangkan bau yang tidak diingini.
Bagaimanapun, tindakan guru berkenaan mengundang pandangan berbeza selepas kisah itu tersebar dengan ada yang menganggapnya sebagai satu cara untuk menormalisasikan fungsi tubuh.
Pada masa sama, sudut berkenaan turut mengundang kritikan daripada mereka yang berpendapat perbuatan melepaskan angin di tempat awam tidak seharusnya diberikan ruang khas, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kewajaran idea berkenaan.
Ada yang mempersoalkan sama ada kanak-kanak hari ini terlalu dimanjakan sehingga tidak mampu menahan kentut sepanjang beberapa waktu persekolahan hanya kerana tidak mahu ia terlepas di hadapan rakan sekelas.
Pendapat peribadi pula menganggap kewujudan sudut berkenaan sebagai langkah berisiko yang mungkin mencetuskan stigma dalam kalangan pelajar walaupun niat guru itu baik.
Melepaskan kentut di hadapan kelas boleh menjadi pengalaman memalukan yang dikenang untuk tempoh lama, malah stigma itu mungkin sekadar berubah bentuk dengan kewujudan ‘sudut kentut’.
Pelajar terbabit mungkin tidak lagi dikenali sebagai ‘budak berbau yang kentut di dalam kelas’ sebaliknya menjadi ‘budak berbau yang kerap bangun menggunakan sudut kentut’ sehingga mengundang persoalan mengenai makanan yang dimakannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

