Tiada kekasih atau kucing, belia kini pilih bela batu bata

Tiada kekasih atau kucing, belia kini pilih bela batu bata

Beijing: Dalam mencari pilihan yang lebih menjimatkan dan mudah dijaga, segelintir belia di China kini memilih alternatif luar biasa dengan menjadikan batu bata sebagai ‘haiwan peliharaan’ berbanding memelihara haiwan atau membesarkan anak.

Walaupun tidak boleh dibelai seperti kucing atau memberikan kepuasan hidup seperti membesarkan zuriat sendiri, batu bata hampir tidak memerlukan kos penjagaan.

“Tiada kucing, tidak keluar berjanji temu, saya mula membela batu bata,” tulis seorang pemilik di media sosial seperti yang dilaporkan The Guardian.

Menjaga ‘anak batu bata’ juga dikatakan lebih mudah berbanding memelihara tanaman hiasan kerana pemilik hanya perlu menyembur air beberapa kali sehari dan membiarkan spora lumut di udara melekat dan tumbuh pada permukaannya.

Sebuah artikel media tempatan menyifatkan batu bata itu seolah-olah ‘hidup selama-lamanya’ kerana lumut akan kembali menghijau selepas disiram semula, meskipun pertumbuhannya terhenti sementara akibat kekurangan air.

Fenomena itu mendapat sambutan apabila tanda pagar berkaitan meraih lebih lima juta tontonan di platform media sosial Weibo, sekali gus mencerminkan minat sebahagian golongan muda terhadap hobi yang mudah dan tidak membebankan.

Pemerhati di China mengaitkan trend itu dengan usaha golongan muda mencari yang lebih sederhana untuk memberikan makna kepada kehidupan seharian.

Seorang pemilik memberitahu media tempatan bahawa hobi berkenaan memberikan kepuasan tersendiri, seumpama menyiapkan projek jangka panjang.

Seorang pengguna aplikasi Xiaohongshu yang turut dikenali sebagai Rednote berkongsi gambar batu bata miliknya yang berwarna karat sambil menyifatkan hobi itu tidak menuntut sebarang hasil kerja atau pencapaian tertentu selain membebaskan pemilik daripada tekanan membandingkan pertumbuhan dengan orang lain.

Seorang lagi pengguna pula menyifatkan batu bata sebagai teman yang memberikan rasa kepastian tanpa memerlukan komitmen untuk membalas kasih sayang, sekali gus memenuhi keperluan emosi tanpa memerlukan banyak usaha.

Trend itu muncul ketika golongan muda di China semakin menjauhkan diri daripada jangkaan tradisional masyarakat termasuk membina keluarga dan bekerja berjam-jam dalam pekerjaan yang membebankan.

Menurut statistik, Kira-kira satu daripada lima individu berusia 16 hingga 24 tahun yang tidak termasuk pelajar menganggur manakala beberapa anggaran menunjukkan kadar sebenar mungkin lebih tinggi.

Pada masa sama, kadar kelahiran di China terus merosot dan mencatatkan rekod terendah tahun lalu.

Selepas bertahun-tahun berdepan persaingan sengit dalam pelajaran dan pasaran kerja yang lembap, sebahagian belia memilih gaya hidup ‘lying flat’ iaitu menjalani kehidupan secara lebih santai tanpa terlalu mengejar tuntutan masyarakat.

Bagaimanapun, trend membela batu bata itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai risiko kesihatan kerana pertumbuhan lumut boleh menggalakkan pembiakan kulapuk.

Malah, beberapa pemilik dilaporkan mengadu mengalami kegatalan mata dan hidung berair.

Bekas profesor kajian lumut di Universiti Normal Ibu Kota, Beijing, Xuedong Li, menggesa orang ramai supaya meletakkan batu bata berlumut di kawasan tertutup selain turut menyarankan penggunaan sarung tangan pakai buang dan pelitup muka ketika mengendalikan batu bata berkenaan bagi mengurangkan risiko terhidu spora lumut serta sentuhan pada kulit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top