Seramai 781 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya memperoleh pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan purata gaji antara RM2,970 hingga RM5,000 menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira yang dilaksanakan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian itu membuktikan anggota tentera masih mempunyai peluang membina kerjaya baharu selepas menamatkan perkhidmatan, khususnya melalui pengalaman dan kemahiran yang dimiliki.

Menurutnya, laporan Pelan Transformasi PERHEBAT merekodkan seramai 1,409 bakal pesara dan veteran ATM menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan sehingga September lalu.
“Daripada jumlah itu, 781 veteran berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan purata gaji RM2,970.00 hingga RM5,000.00. Manakala, seramai 628 bakal pesara mengikuti latihan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab pada Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-71 di Dewan Jubli Perak, Kompleks PERHEBAT, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan usaha memperkukuh peluang pekerjaan veteran ATM perlu diteruskan melalui kerjasama strategik dengan pemain industri, khususnya dalam sektor bernilai tinggi.
Jelasnya, Kementerian Pertahanan turut memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan kemahiran serta pengalaman anggota tentera sepanjang perkhidmatan mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Menerusi pendekatan itu, latihan, kursus dan pengalaman kerja anggota ATM akan dinilai untuk menentukan kelayakan mendapatkan pengiktirafan seperti Sijil Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Mengulas peluang kerjaya selepas persaraan, beliau mengingatkan anggota tentera yang masih berupaya supaya tidak mensia-siakan pengalaman dan potensi diri meskipun bersara sekitar usia 40-an.

“Kita tidak seharusnya membazirkan potensi besar golongan ini. Maka, saya menggesa bakal-bakal pesara yang masih berupaya, janganlah berehat terlalu lama selepas fasa peralihan. Rebutlah peluang yang ada untuk mendapat pekerjaan yang terbaik selepas persaraan,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts. Amir Md. Noor memaklumkan pihaknya telah menjalin kerjasama dengan 513 agensi dan syarikat swasta bagi memadankan kemahiran veteran dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Pada masa sama, seramai 4,164 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara, manakala 833 anggota dan veteran layak menerima pengiktirafan kemahiran sehingga September 2026.
PERHEBAT turut mencatat pencapaian apabila 10 peserta Program Latihan Kemahiran Industri bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) berjaya menamatkan pengajian selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China.

Kumpulan berkenaan menjadi perintis dalam kalangan veteran ATM yang bakal menyumbang kepada pengoperasian projek ECRL, sekali gus memperluas peluang kerjaya selepas persaraan.
Selain itu, sebanyak lapan program latihan PERHEBAT menerima Pensijilan Pembangunan Profesional (PDC) daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), sebagai pengiktirafan terhadap kualiti latihan teknikal dan profesional yang ditawarkan.




