sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah kelab dari Thailand, Port FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Xisco Munoz mengumpul tujuh mata dan melonjak ke tangga kedua kumpulan Zon Timur buat seketika manakala skuad kendalian Bozidar Bandovic masih dengan tanpa sebarang mata selepas tewas kali ketiga berturut-turut.
JDT melakukan serangan menerusi kapten Arif Aiman Hanapi pada minit ke-11, namun hantaran lintangnya gagal disambar Shahab Zahedi.
Peluang terhidang Harimau Selatan membuka tirai pada minit ke-18 terlepas begitu sahaja apabila sepakan percuma Oscar Arribas dari jarak 25 meter hanya sipi ketika penjaga gol, Michael Falkesgaard sudah mati langkah.
Memasuki minit ke-28, bola umpanan Zahedi dirembat Arif Aiman, tetapi Falkesgaard lebih pantas melayangkan badan untuk menepis bola keluar.
Bersambung babak kedua, Port FC hampir menjaringkan gol pada minit ke-47 selepas bola tendangan Bruno Moreira terkena Nacho Mendez yang menyebabkan bola menuju ke gawang gol JDT, mujur palang gol menjadi penghalang ketika Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah terpaku di gawang sendiri.
Asakan bertali arus JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-52 apabila hantaran lintang Arif Aiman dirembat masuk Jonanthan Glauder.
JDT terus mengganas pada minit ke-62 apabila hantaran lintang Arribas ditanduk pemain gantian, Bergson da Silva dan bola terkena kaki Peerawat Akkratum sebelum bergolek masuk ke gawang Falkesgaard.
Namun, malang buat Bergson yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika menjaringkan gol selepas menggantikan Zahedi dan Stoichkov masuk untuk menguatkan barisan tengah.
Stoichkov melengkapkan penguasaan JDT menerusi tolakan mudah yang memastikan kemenangan 3-0 milik anak didik Munoz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




