Seri dengan Indonesia suntik keyakinan skuad B-19 negara

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia menjadi permulaan yang menyuntik keyakinan buat skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara dalam usaha memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2027.

Malaysia mengikat Indonesia tanpa jaringan dalam aksi pertama Kumpulan H di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos, semalam untuk mengutip satu mata dalam saingan kelayakan berkenaan.

Pengendali skuad B-19 negara, Shukor Adan melihat keputusan itu sebagai peluang buat pemainnya membina momentum terutama selepas pasukan hanya mempunyai tempoh persiapan singkat sebelum memulakan kempen.

“Kami mempunyai tempoh persiapan singkat. Kebanyakan pemain baru tiba dan menyertai pasukan pada minggu ini kerana sebahagian daripada mereka terlibat dalam beberapa kejohanan di Malaysia.

“Bagi saya, pemain kini sudah bersedia untuk merebut peluang ini dan meningkatkan prestasi mereka bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Justeru, Shukor mahu pemainnya tidak sekadar berpuas hati dengan satu mata yang diraih itu, sebaliknya menggunakan pengalaman daripada aksi pembukaan itu untuk memperbaiki prestasi dalam perlawanan seterusnya.

Keputusan seri dengan Indonesia itu pastinya memberikan Malaysia permulaan lebih positif selepas kegagalan menempatkan diri ke pusingan akhir edisi 2025 yang berlangsung di China.

Pada kempen kelayakan edisi berkenaan, Malaysia sekadar menamatkan saingan di Tajikistan pada kedudukan keempat selepas mengumpul lima mata daripada lima perlawanan.

Kali terakhir skuad negara layak beraksi di pusingan akhir Piala Asia B-20 adalah pada edisi 2020 di Uzbekistan, namun pertandingan itu dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Malaysia berharap satu mata yang diraih daripada aksi pembukaan itu mampu menjadi pencetus kepada kempen lebih positif ketika misi memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2027 diteruskan.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan Piala Asia B-20 adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1959, 1960 dan 1968.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top