Rutin mingguan santuni gelandangan, FFG semarak erti kemerdekaan!

Rutin mingguan santuni gelandangan, FFG semarak erti kemerdekaan!

Empat minggu aktiviti mingguan Food For Gelandangan (FFG) sepanjang Ogos akhirnya melabuhkan tirai dengan membawa tema Kemerdekaan menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Program tersebut dilaksanakan bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Puspanita Cawangan KKR, Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan Malaya Express Cargo Sdn. Bhd.

Sepanjang tempoh itu, sukarelawan FFG dan rakan kerjasama konsisten turun ke jalanan bagi menyantuni golongan gelandangan serta komuniti di sekitar Lorong Haji Taib dan Chow Kit.

Rutin mingguan santuni gelandangan, FFG semarak erti kemerdekaan!

Pelbagai aktiviti serta usaha kebajikan dilaksanakan dalam tempoh empat minggu itu sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang sering berdepan kesukaran hidup dan keterbatasan untuk mendapatkan keperluan asas.

Bagi FFG, usaha yang dilakukan bukan sekadar rutin kebajikan mingguan sebaliknya satu perjalanan yang didorong oleh tekad untuk terus mengambil peduli terhadap mereka yang sering terpinggir dan dilupakan masyarakat.

Tema Kemerdekaan yang dibawa sepanjang Ogos juga memberi makna lebih besar apabila ia mengajak masyarakat melihat semula pengertian sebenar kemerdekaan.

Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik atau meraikan sambutan tahunan, tetapi turut menuntut kita membebaskan diri daripada sikap tidak peduli terhadap kesusahan insan lain.

Di sebalik kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan, masih ada golongan yang meneruskan kehidupan di jalanan dalam serba kekurangan dan mengharapkan sedikit perhatian daripada masyarakat sekeliling.

Realiti itu menjadi peringatan bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya boleh diukur menerusi pembangunan fizikal atau kemodenan kota, sebaliknya turut bergantung kepada sejauh mana masyarakat mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan.

Walaupun langkah yang dilakukan mungkin kecil, setiap bantuan dan kunjungan membawa makna tersendiri.

Setiap insan berhak untuk disantuni dan dihargai, selain merasakan mereka masih mempunyai tempat dalam masyarakat.

Justeru, kehadiran sukarelawan di jalanan bukan semata-mata untuk menghulurkan bantuan keperluan asas, tetapi turut membawa nilai kemanusiaan menerusi senyuman, sapaan dan perhatian.

FFG berharap usaha sepanjang empat minggu itu mampu membuatkan saudara-saudara yang hidup di jalanan merasakan bahawa mereka juga dihargai, disayangi dan merupakan sebahagian daripada masyarakat yang sama-sama menikmati nikmat kemerdekaan.

Sementara itu, Ketua Media FFG, Shah Nazrin berharap inisiatif seperti itu dapat membuka mata serta hati lebih ramai pihak terhadap realiti kehidupan yang wujud di sebalik kesibukan ibu kota.

Di sebalik bangunan pencakar langit, jalan raya yang sibuk dan kehidupan kota yang tidak pernah berhenti, masih ada insan yang memerlukan ruang untuk diberi perhatian dan disantuni.

“Kita mungkin tidak mampu mengubah seluruh kehidupan seseorang dalam satu malam. Namun, kita mampu memilih untuk tidak berpaling.
“Kita mampu berhenti seketika, bertanya khabar, menghulurkan tangan dan memberikan sedikit perhatian kepada mereka yang memerlukan.
“Kerana kadangkala, apa yang kelihatan kecil bagi kita mungkin membawa makna yang sangat besar buat mereka,” katanya.

Beliau berkata, semangat kepedulian, kasih sayang dan kemanusiaan perlu terus dipupuk dalam masyarakat kerana kemerdekaan yang sebenar adalah apabila tiada insan merasakan diri mereka tersisih, dilupakan atau tidak dihargai.

Scroll to Top