KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) melantik Dayang Saniah Awang Hamid dan Muhammad Faiz Rahmad, masing-masing sebagai Ketua Pergerakan Wanita (Penaja) serta Ketua Pergerakan Pemuda (Penaja).
Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia melengkapkan barisan kepimpinan parti selepas pelantikan jawatankuasa pusat, penyelaras negeri dan ketua bahagian (penaja) sebelum ini.
Menurut beliau, Dayang Saniah dan Muhammad Faiz mempunyai pengalaman luas dalam organisasi serta gerak kerja politik di peringkat akar umbi.
“Mereka juga memiliki keupayaan untuk membina jentera yang dekat dengan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan kekuatan dan jentera Wawasan terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya yakin gandingan mereka bersama barisan kepimpinan Wanita serta Pemuda dapat memberikan tenaga baharu, idea segar dan nilai tambah yang signifikan kepada Wawasan seterusnya melengkapi kekuatan kepimpinan sedia ada.
“Pada masa sama, kedua-dua sayap ini akan dibangunkan secara inklusif sesuai identiti dan prinsip Wawasan sebagai parti berwajah Malaysia yang terbuka kepada semua rakyat demi membina masa depan negara melalui gagasan Konsensus Nasional Baharu,” katanya dalam kenyataan.
Upacara penyerahan watikah pelantikan buat Dayang Saniah dan Muhammad Faiz disampaikan oleh Hamzah di pejabatnya di Bukit Tunku pada Selasa.
Pada 28 Ogos lalu, Wawasan mengumumkan barisan 160 Ketua Bahagian Penaja Wawasan yang bakal memikul tugas mengurus hal ehwal parti tersebut di semua bahagian dan negeri.
Satu majlis penyampaian watikah disempurnakan oleh Setiausaha Agung Wawasan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan dihadiri pimpinan parti berkenaan.
Antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dinamakan sebagai Ketua Bahagian Penaja Wawasan Machang.
