Warga asing tular di BSAS bukan pemandu pelancong, KL City Gallery mohon maaf kekeliruan pemakaian selempang

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Warga asing yang tular dikaitkan sebagai pekerja di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) disahkan bukan pemandu pelancong.

KL City Gallery dalam kenyataan berkata, pihaknya memohon maaf kerana pemakaian selempang oleh kakitangan warga asing itu menimbulkan kekeliruan mengenai peranan pemandu pelancong yang dilantik.

“Untuk makluman, kakitangan berkenaan bukan pemandu pelancong dan tidak pernah dilantik oleh pihak syarikat untuk menjalankan tugas berkenaan.

“Pemakaian selempang itu menimbulkan kekeliruan mengenai peranan pemandu pelancong yang dilantik,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semua pemandu pelancong yang bertugas di KL City Gallery dan BSAS adalah pekerja tempatan.

“KL City Gallery memohon maaf atas kesalahfahaman yang timbul dan sudah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang.

“Pengalaman dan keyakinan pengunjung ke KL City Gallery dan Bangunan Sultan Abdul Samad sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa pekerja asing bertindak sebagai pemandu pelancong di BSAS dan mempersoalkan mengapa pemandu pelancong tidak dipilih daripada warga tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top