Presiden Iran ucap terima kasih kepada Putin beri sokongan ketika perang

BISHKEK: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin pada Selasa atas pendirian Moscow sepanjang perang di Asia Barat dalam pertemuan pertama mereka sejak konflik itu tercetus.

Moscow telah memperkukuh hubungan ketenteraan dan ekonominya dengan Iran secara besar-besaran sejak melancarkan pencerobohan penuh ke atas Ukraine.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada anda atas pendirian anda pada setiap peringkat, sama ada ketika pertempuran dan tindakan agresif berlaku mahupun dalam keadaan biasa, ketika Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap kami, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan forum antarabangsa,” kata Pezeshkian kepada Putin dalam pertemuan di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Kyrgyzstan.

“Ini menunjukkan bahawa hubungan kami adalah hubungan strategik, ia bukan hubungan biasa,” tambahnya.

Pezeshkian dan Putin kali terakhir bertemu pada sidang kemuncak di Turkmenistan pada Disember 2025.

Perang antara Iran dan AS  tercetus pada 28 Februari susulan serangan AS-Israel yang mengorbankan pemimpin tertinggi Republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pegawai kanan tentera.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan di seluruh rantau itu ketika konflik terus merebak. – AFP

Scroll to Top