MANILA: Sepasang pengantin di Filipina melangsungkan perkahwinan mereka pada Selasa di sebuah gereja Katolik yang ditenggelami air sehingga hampir paras pinggang, ketika hujan lebat melanda sebahagian besar negara itu sejak sebulan lalu.
Sambil memegang sejambak bunga putih dan mengenakan gaun putih berpotongan bahu terbuka, Leian Lieza Galang meredah air banjir berwarna coklat keruh dengan berhati-hati di dalam Gereja Saint John the Baptist di bandar Hagonoy, utara Manila, untuk berkahwin dengan Gilbert Chico.
“Kami memakai pakaian perkahwinan lengkap. Kami tidak kisah gaun dan kot kami basah,” kata pengantin lelaki itu kepada AFP.
Paderi kemudian mengisytiharkan pasangan itu, yang kedua-duanya berusia dalam lingkungan 30-an, sebagai suami isteri dalam satu majlis ringkas lewat pagi, kata jurugambar perkahwinan Mikko Rey Alfonso.
“Pihak gereja telah menasihati mereka supaya menangguhkan perkahwinan kerana paras air banjir dari kawasan hulu semakin meningkat.
“Namun, keputusan untuk meneruskannya dibuat oleh mereka sendiri,” kata Alfonso kepada AFP sambil menambah bahawa gereja itu telah ditenggelami air sebahagiannya selama hampir sebulan.
Pengantin perempuan dan lelaki tiba bersama-sama menaiki sebuah beca bermotor yang mempunyai casis tinggi, bagi memastikan pakaian mereka kekal bersih sebelum turun di halaman gereja, kata Chico.
Kurang daripada 15 orang menghadiri majlis itu, tambahnya. – AFP
