sukan@hmetro.com.my
Melaka: Momentum kemenangan dalam saingan Liga Super menjadi pembakar semangat buat Melaka FC (MFC) apabila berdepan Penang FC pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Malah, MFC bakal tampil dengan keyakinan tinggi selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super, kelmarin.
Kemenangan terbabit amat penting buat skuad kendalian E Elavarasan selepas tewas 0-3 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi pembukaan Liga Super.
Elavarasan berkata, cabaran menentang Penang FC pastinya berbeza pada saingan kalah singkir yang menjanjikan debaran lebih kencang buat mana-mana pasukan.
“Kemenangan menentang NSFC memberi keyakinan positif kepada pemain tetapi kami tidak mahu meraikan kemenangan itu terlalu lama kerana sekarang fokus kami menentang Penang.
“Kami tahu jadual amat padat, justeru tahap kecergasan pemain selepas perlawanan lepas perlu diambil kira dan kami perlu memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik.
“Walaupun Penang pasukan yang bagus, kami memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri dan sudah tentu mahu menggunakan kesempatan yang ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
