MDA mohon peruntukan khas Belanjawan 2027 bagi rawatan pergigian percuma PeKa B40

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) memohon kerajaan menyediakan peruntukan khas Belanjawan 2027 untuk rawatan pergigian percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Presiden MDA, Dr Chong Zhen Feng berkata, cadangan berkenaan penting bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat akses kepada pemeriksaan dan rawatan pergigian asas tanpa dibebani kos.

Katanya, beban penyakit mulut dalam kalangan rakyat Malaysia masih tinggi apabila Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022-2030 Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 94.5 peratus orang dewasa di negara ini mengalami penyakit periodontal pada 2020.

“Kesihatan mulut adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan dan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai masalah gigi dan gusi.

“Penyakit seperti karies gigi dan penyakit periodontal mempunyai kaitan dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) lain, termasuk diabetes, selain berkongsi faktor risiko seperti pengambilan gula berlebihan, penggunaan tembakau dan pemakanan tidak sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, KKM sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan saringan dan rawatan pergigian asas menerusi skim PeKa B40 bagi golongan berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, Dr Chong berkata, kemampuan mendapatkan rawatan masih menjadi antara halangan bagi keluarga B40 untuk mendapatkan rawatan pergigian pada peringkat awal.

“Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan penyakit yang boleh dicegah menjadi lebih serius, termasuk kesakitan, jangkitan dan kehilangan gigi, sekali gus memerlukan rawatan lebih kompleks dan mahal.

“Memasukkan penjagaan pergigian dalam PeKa B40 bukan sekadar menambah manfaat pergigian, sebaliknya mengukuhkan strategi penjagaan kesihatan pencegahan negara dengan membawa perkhidmatan asas lebih dekat kepada komuniti yang memerlukannya.

“MDA menyeru Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan cadangan ini serta menyediakan peruntukan yang diperlukan dalam Belanjawan 2027,” katanya.

Beliau berkata, jaringan pengamal pergigian awam dan swasta yang luas di negara ini juga boleh dimanfaatkan bagi membantu menjayakan inisiatif berkenaan.

Katanya, kerjasama awam-swasta dengan mekanisme pelaksanaan dan pembayaran balik yang sesuai berupaya melengkapkan kapasiti sedia ada KKM, selain memperluas akses kepada perkhidmatan pergigian asas bagi rakyat B40 yang layak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top