puterialia@hmetro.com.my
Rasa rindu untuk menonton filem romantik yang tragis dan mampu menyentuh emosi penonton secara mendalam membuatkan penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima kembali ke kerusi pengarah filem selepas sedekad selain menganggap ia sebagai satu fasa perjuangan baharu.
Meskipun begitu, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, tetap berkarya menerusi televisyen kerana merasakan ia platform terbaik untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat.
“Saya rindu nak tonton filem-filem cinta yang tragis, cinta agung, cinta yang boleh buat kita keluar dari panggung, bengkak mata, bawa sebak sampai ke rumah.
“Bagi saya kita dah lama tak ada filem seperti Azura, Suara Kekasih, Maria Mariana, Pasrah dan Ombak Rindu,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem Langit 2 Warna, baru-baru ini.
Mengulas mengenai karya terbaharunya itu, Erma mengakui bukan mudah menghasilkan naskhah romantik selepas sedekad hidup tidak mempunyai pasangan.
“Maklumlah, dah sedekad juga tiada pasangan. Dah hilang rasa cinta, dah mati rasa itu dan tak tahu macam mana rasa cinta itu. Jadi satu cabaran bagaimana nak buat roh filem ini penuh dengan rasa cinta,” katanya.
Bagi menyuburkan kembali emosi berkenaan, Erma memaksa dirinya untuk mencintai seseorang dan bersyukur kerana didatangi ramai insan yang menjadi tulang belakangnya.
“Saya tak perlukan lelaki untuk saya cintai, untuk saya suburkan cinta ini. Saya sangat bersyukur dihadirkan orang yang hebat untuk membantu saya,” katanya yang turut teruja menantikan sentuhan skor muzik daripada Datuk Ramli MS bagi filem berkenaan.
Dalam pada itu, Erma turut menyifatkan pembikinan filem Langit 2 Warna itu sebagai satu proses yang amat menyeksakan dari awal hingga kini, namun bertuah mempunyai pelakon yang disifatkannya sebagai aturan Tuhan untuk mentransformasikan emosi cinta ke layar perak.
Berkongsi mengenai pemilihan barisan pelakon filem berkenaan, Erma berkata, dia memegang peranan penuh dalam pemilihan wajah-wajah dalam filem berkenaan.
“Bahagian saya dalam pemilihan pelakon? 101 peratus. Keputusan itu sudah tentu keputusan saya, siapa pelakon yang saya inginkan dan selepas itu saya harus berkongsi dengan sahabat serta rakan kongsi untuk mendapat restu,” ujarnya.
Menjawab persoalan mengenai tempoh 10 tahun tanpa menghasilkan naskhah filem, Erma menjelaskan dia berjuang di televisyen demi menyampaikan mesej besar buat agama dan bangsa yang tidak dapat dilakukan di layar lebar.
“Saya kembali hari ini dan harus memastikan bahawasanya saya harus membawa sesuatu yang lebih besar daripada apa yang saya lakukan di televisyen,” katanya.
Sementara itu, Erma menyifatkan pengalaman mendapatkan dua bintang besar Indonesia, Reza Rahadian dan Christine Hakim, sebagai sebuah ujian kesabaran yang amat besar bak cinta tidak terbalas.
“Dia ibarat seperti kita mencintai seorang lelaki yang dia tak balas cinta kita lagi ini. Setiap hari saya menatap telefon menunggu jawapannya (Reza),” katanya lagi.
Bercakap mengenai pemilihan Christine pula, Erma mengakui hubungan persahabatan berpuluh tahun menjadikan kerjasama itu sebagai satu impian dan bertindak memilih Reza atas dorongan pelakon veteran berkenaan.
“Sebenarnya saya ‘gamble’. Reza Rahadian tidak ada dalam senarai kerana saya tahu saya tak mampu dan dia sangat memilih.
“Christine yang paksa saya cuba untuk ‘approach’ Reza kerana bagi Christine watak Salafi sangat penting,” katanya yang mengakui berdepan rasa ‘mabuk’ menantikan jawapan selama hampir dua bulan sebelum Reza bersetuju.
Selepas sekian lama tidak bekerjasama, pelakon, Ummi Nazeera meletakkan kepercayaan penuh terhadap Erma menerusi naskhah terbaharu yang bakal menampilkan dirinya sebagai Inara.
Ummi berkata, keputusan untuk menerima tawaran berkenaan dibuat atas rasa hormat dan terhutang budi terhadap figura yang dianggapnya sebagai ibu seni.
“Dia (Erma) yang melahirkan saya ke dalam industri ini semasa umur saya 16 tahun, iaitu bertahun-tahun yang lalu. Kak Erma Alhamdulillah memang ada menawarkan saya beberapa projek sebelum ini, cuma selepas itu saya tidak ada kesempatan untuk bekerja dengannya.
“Jadi kali ini, apabila Kak Erma panggil untuk sesi ‘casting’, sesiapa sahaja tahu bila Erma Fatima panggil, kita kena datang. Dan saya memang datang ke ‘casting’ itu,” ujarnya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam projek berkenaan, Ummi mengakui tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai plot cerita pada awal tawaran, namun yakin dengan kredibiliti pengarah berpengalaman itu.
“Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk memainkan peranan Inara, insyaAllah. Walaupun saya tak berapa tahu mengenai cerita ini pada mulanya, tetapi sebab saya percaya kepada Erma Fatima dan apabila saya membaca skripnya, saya rasa sangat gembira,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon popular Indonesia, Reza Rahadian turut mengakui antara faktor dia menerima tawaran membintangi filem Langit 2 Warna adalah kerana kekuatan jalan cerita serta keunikan watak Salafi yang disifatkan sebagai sesuatu yang segar dan belum pernah dilakonkannya sebelum ini.
Menurutnya, naskhah arahan Erma itu memerlukan proses pemahaman yang lebih teliti kerana skripnya menggunakan campuran bahasa Melayu dan Indonesia.
Malah, Reza turut mendedahkan dia sempat berbincang dengan pelakon senior Indonesia, Christine Hakim yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri sebelum membuat keputusan akhir.
“Apabila ibu Erma datang membawa cerita ini, saya perlukan masa untuk membaca dan menyelami skrip kerana bahasanya bercampur antara bahasa Melayu dan Indonesia, jadi mungkin perlukan masa lebih panjang.
“Lalu, saya cuba meresapi terlebih dahulu dan berbincang dengan Ibu Christine. Apabila dia berkata saya harus mengambil watak ini, pada mulanya saya berasa takut,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perasaan gemuruh itu, Reza mengakui bimbang sama ada mampu memenuhi jangkaan Erma, selain memastikan lakonannya menepati visual yang sudah digarap dalam fikiran pengarah terbabit.
Dalam perkembangan lain, penggambaran filem berkenaan dijadualkan berlangsung pada November dan Disember depan di beberapa buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Mesir dan Arab Saudi.
Setiap lokasi bukan sekadar menjadi latar visual, tetapi sebahagian daripada perjalanan spiritual dan emosi wataknya.
Pertemuan budaya Malaysia dan Indonesia berlatarkan dunia Islam yang lebih luas menjadikan Langit 2 Warna sebuah produksi yang mahu berkongsi kepada penonton serantau tanpa kehilangan akar identitinya.
Selain Ummi dan Reza, filem ini turut dibintangi pelakon terkenal seperti Christine Hakim, Eman Manan, Datuk Tarmimi Siregar, Datin Seri Umie Aida Sharifah Aryana, Heliza Helmi, Zizi Kirana dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
