BANGKOK: Thailand akan mengurangkan separuh tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari puluhan negara dan wilayah kepada 30 hari, berkuat kuasa 15 September ini, menurut Kementerian Luar.
Pelancongan merupakan sektor penting kepada ekonomi negara Asia Tenggara itu, namun pegawai berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian usaha membendung jenayah yang melibatkan warga asing.
Beberapa siri tangkapan terbaharu melibatkan warga asing yang dituduh melakukan kesalahan berkaitan dadah, pemerdagangan seks serta menjalankan perniagaan seperti hotel dan sekolah tanpa permit yang sewajarnya.
Di bawah skim pelancongan Thailand ketika ini, pelancong dari lebih 90 negara dan wilayah termasuk 29 negara dalam kawasan Schengen Eropah, China, India, Amerika Syarikat (AS) serta beberapa negara Amerika Selatan layak memasuki Thailand tanpa visa untuk tempoh sehingga 60 hari.
Pengurangan tempoh bebas visa kepada 30 hari itu melibatkan 60 negara dan wilayah, termasuk Singapura, China, AS dan 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU), menurut Jabatan Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar Thailand pada Selasa.
Status bebas visa bagi kira-kira 20 negara lain masih belum jelas, dengan seorang pegawai Kementerian Luar enggan mengulas perkara itu pada Selasa.
Sementara itu, pelawat dari Peru, Brazil dan Korea Selatan akan diberikan tempoh tinggal tanpa visa selama 90 hari, berbanding 60 hari sebelum ini.
Pelancong masih boleh memohon lanjutan tempoh tinggal sebanyak sekali, tertakluk kepada budi bicara pegawai imigresen, menurut jurucakap kerajaan kepada AFP pada Mei lalu ketika Kabinet meluluskan langkah berkenaan.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, rancangan memendekkan tempoh lawatan tanpa visa itu merupakan sebahagian daripada tindakan membanteras individu yang menyalahgunakan sistem visa untuk melakukan jenayah di negara berkenaan.
Thailand merekodkan 20.9 juta ketibaan pelancong asing sejak awal tahun ini, susut tiga peratus berbanding tempoh sama pada 2025, menurut angka rasmi terkini.-AFP

