PUTRAJAYA – Generasi akan datang mungkin menyalahkan generasi hari ini sekiranya gagal meninggalkan sebuah Malaysia yang lebih baik menjelang negara mencapai usia 100 tahun pada 2057.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menegaskan, tiga dekad bukanlah tempoh yang panjang tetapi sebenarnya singkat dalam konteks pembinaan negara dan pertukaran generasi.
Menurutnya, jika keadaan Malaysia hari ini dijadikan ukuran, legasi yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang tidak begitu menyerlah dan belum tentu dapat dibanggakan.
ARTIKEL BERKAITAN: #Malaysia100: Bukan sekadar pewaris, tetapi pembentuk negara
#Malaysia100: Anak muda mahu pulihkan Malaysia menjelang 2057
Ayuh setahun himpun idea, bina #Malaysia100
“Tiga dekad bukan lama, hanya satu generasi. Tetapi apakah legasi yang kita wariskan pada generasi akan datang?
“Menggunakan prisma hari ini, nampaknya legasi yang bakal kita tinggalkan tidaklah menyerlah. Malah ada kemungkinan generasi akan datang menyalahkan kita kerana kita tidak berupaya memberikan yang lebih baik,” katanya.

Johan
Dalam pada itu, Johan turut memuji pemikiran jauh ke hadapan Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub yang berani membawa perbincangan mengenai masa depan Malaysia melangkaui isu semasa dengan mengajak rakyat membayangkan negara yang akan diwariskan kepada generasi pada 2057.
Jelas beliau, ketika perhatian banyak tertumpu kepada polemik dan pertelagahan, Hussamuddin sebaliknya mendahului pemikiran tiga dekad ke hadapan dengan mengingatkan bahawa keputusan dan tindakan generasi hari ini akan menentukan wajah Malaysia pada usia 100 tahun.
Beliau berkata, pemikiran sedemikian wajar diberi perhatian kerana masa depan negara tidak seharusnya hanya dibincangkan apabila masalah telah berlaku, sebaliknya perlu dirancang dan dibentuk sejak sekarang.
“Hussamuddin melihat hari ini sebagai peringatan akan datang. Pada waktu yang sama melihat ke belakang pada pencapaian dan kelemahan kita sejak merdeka.
“Saya menjunjung tinggi pemerhatian beliau. Saya memuji forward thinking beliau selain keberaniannya menyatakan yang benar sekalipun mungkin pahit dan menyakitkan,” jelasnya.
Menurutnya, banyak masa dihabiskan dengan bertelagah sesama sendiri, menelanjangkan kelemahan masing-masing tetapi mengabaikan tugas dan tanggungjawab bersama untuk meninggalkan Malaysia yang lebih baik.
“Itulah realiti hari ini. Kita harus menyelesaikan sengketa sesama sendiri, berani menyatakan yang benar, menolak salah laku dan rasuah serta memperbaiki mana-mana sistem yang rosak atau tercalar. Kita ada amanah untuk dilaksanakan,” tegasnya.
Johan turut menyokong pandangan #Malaysia100 bukan milik Hussamuddin semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama semua pihak yang mahu memastikan masa depan lebih baik buat anak cucu dan generasi Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berharap pandangan diketengahkan menerusi gagasan tersebut dapat diteliti oleh seluruh rakyat, khususnya pimpinan serta pemain politik semasa.

