BHARATPUR – Nepal memperkenalkan protokol baharu bagi mengenal pasti mayat mangsa banjir yang ditemukan di sepanjang sungai susulan jumlah korban meningkat dan keadaan mayat semakin mereput.
Menerusi prosedur itu, gambar setiap mayat akan diambil dan sampel DNA disimpan sebelum mayat dikebumikan buat sementara waktu di kawasan perkuburan yang disediakan pihak berkuasa.
Langkah berkenaan merupakan prosedur pertama seumpamanya dilaksanakan Nepal bagi menangani lambakan mayat akibat banjir besar yang melanda Tibet dan utara Nepal pada 26 Ogos lalu.
Menurut laporan The Straits Times pada Rabu, lebih 1,000 nyawa terkorban dalam bencana itu, manakala hampir 300 mayat telah ditemukan di sepanjang Sungai Trishuli dan Narayani di daerah Chitwan.

Unit forensik Hospital Bharatpur di daerah Chitwan, Nepal. Foto: The Straits Times
Mayat yang ditemukan akan dirakamkan gambarnya sebelum sampel DNA diambil.
Ia kemudian diletakkan dalam beg mayat dan dikebumikan di kubur besar sementara di kawasan hutan yang dibersihkan di Devghat.
Langkah itu membolehkan mayat yang sudah dikebumikan digali semula sekiranya identiti mereka berjaya dipadankan dengan ahli keluarga pada minggu-minggu berikutnya.
Di Bharatpur, sebuah bangunan kerajaan tidak digunakan turut dijadikan pusat sementara untuk menempatkan mayat selepas bilik mayat di bandar itu tidak lagi mampu menampung jumlah yang semakin meningkat.
Usaha mengekalkan mayat dalam keadaan baik bagaimanapun berdepan kesukaran apabila pihak berkuasa terpaksa mendapatkan penghawa dingin dan ais kering, namun suhu bawah sifar sukar dikekalkan.
Pegawai Polis Nepal di Chitwan, Anil Thapa berkata, keadaan mayat yang cepat mereput turut menimbulkan masalah kepada masyarakat sekitar berikutan bau semakin kuat.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa dari seluruh Nepal dan luar negara mula tiba di Chitwan untuk mencari insan tersayang masih hilang.
Antara mereka, Biresh Kumar Sah, 18, datang ke Bharatpur dari Siraha pada 30 Ogos bagi mencari bapa dan adik lelakinya yang dipercayai maut selepas sebuah sekolah di Betrawati, daerah Nuwakot, dihanyutkan tanah runtuh.
Sah terpaksa meneliti gambar mayat yang dipaparkan pada skrin di pusat pengenalan mayat sementara dengan harapan dapat mengenal pasti kedua-dua ahli keluarganya.
Bagaimanapun, usaha itu tidak membuahkan hasil pada hari berkenaan.
“Sebarang harapan kecil yang saya ada, itu pun sudah hilang sekarang,” katanya.
