Lelaki 'baju oren' cetus provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan sudah ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang tukang masak ditahan selepas disyaki melakukan provokasi semasa sambutan Hari Kebangsaan 2026, di Dataran Putrajaya, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Putrajaya, tengah hari semalam, selepas lima laporan polis telah dibuat terhadapnya kerana melakukan provokasi supaya merempuh pagar tempat duduk bagi menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Suspek terbabit telah membuat provokasi sehingga menyebabkan orang ramai yang berada berhampirannya merempuh barisan hadapan untuk merebut tempat duduk di Dataran Putrajaya.

Akibat kejadian rempuhan itu, beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat ditolak.

Difahamkan hari ini, pihak polis akan mendapatkan kebenaran menahan reman suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan penahanan suspek untuk siasatan lanjut.

“Ya kita telah menahan lelaki berbaju oren ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan. Lelaki berkenaan juga diminta hadir ke IPD Putrajaya bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular video seorang lelaki berbaju oren mencetuskan provokasi yang dimuat naik dilaman Facebook berdurasi 2 minit 18 saat, memaparkan seorang lelaki Melayu berbaju oren/coklat dipercayai telah membuat provokasi serta merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh.

Kejadian ini dipercayai berlaku pada jam lebih kurang jam 5 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top