Misi Olimpik Azizulhasni: Arahan Menteri Sejak 13 Ogos, Kelompangan Komunikasi 17 Hari Cetus Polemik

Arahan berhubung misi Datuk Mohd Azizulhasni Awang ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) sudah dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari pada 13 Ogos lalu, namun surat tawaran kepada jaguh berbasikal trek negara itu hanya menyusul 17 hari kemudian.

Tempoh antara arahan berkenaan dengan surat tawaran yang dikeluarkan pada 30 Ogos itu dipercayai antara kelompangan komunikasi yang mencetuskan polemik mengenai masa depan The Pocket Rocketman bersama kontinjen negara.

Mohammed Taufiq berkata, beliau mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) menilai perkara berkenaan pada 13 Ogos sebelum keputusan dicapai untuk memberi laluan kepada Azizulhasni meneruskan misi ke LA28.

“Maknanya 13 haribulan arahan saya sudah pun dikeluarkan, kemudian surat tawaran itu dikeluarkan pada dua hari lepas (30 Ogos). Mungkin ada kelompangan waktu tersebut yang menyebabkan beberapa perkara dan isu ini berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Proses Kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028, semalam.

Menurut Mohammed Taufiq, keputusan memberi laluan kepada Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 sebenarnya telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos.

Beliau pada masa sama mengakui terdapat sedikit salah faham dari segi komunikasi berhubung perkara itu dan mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan yang berlaku.

“Saya boleh mengakui, saya mengambil tanggungjawab mungkin ada sedikit salah faham dari segi komunikasi yang sudah pun kita selesaikan secara dalaman bersama dengan MSN, ISN dan semua yang kita bincang supaya selepas ini komunikasi itu perlu lebih baik lagi,” katanya.

Mohammed Taufiq berkata, beliau memilih untuk tidak mengeluarkan kenyataan dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas isu berkenaan tercetus kerana mahu mencari penyelesaian terbaik tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Sebagai pemimpin sudah pasti kita nak mencari jalan tengah. Kita nak mencari yang terbaik.

“Kita tidak boleh pick side ataupun kita tidak boleh memilih siapa yang betul dan siapa yang salah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azizulhasni sudah menerima tawaran berkenaan dan bersetuju meneruskan khidmat bersama skuad negara dalam usaha memburu kejayaan di LA28.

“Beliau bersetuju untuk meneruskan khidmat bakti untuk negara Malaysia tercinta.

“Sebab itu kita perlu duduk bersama mencari jalan tengah, mencari jalan yang terbaik. Matlamat utama kita adalah untuk negara Malaysia. Saya rasa perkara itu dah selesai,” katanya.

Polemik mengenai masa depan Azizulhasni tercetus selepas pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu memuat naik penjelasan sembilan muka surat di Instagram, Jumaat lalu, mengenai proses kelayakan LA28 dan masa depan kariernya.

Dalam penjelasan itu, beliau turut meminta jawapan jelas daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi meneruskan misi ke LA28.

MSN sehari kemudian menafikan dakwaan bahawa badan itu tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa Azizulhasni, selain menegaskan ia sentiasa menyokong pelumba berkenaan termasuk dalam persiapannya menuju LA28.

KREDIT GAMBAR UTAMA: KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN (KBS)


Scroll to Top