am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertikaian hangat berhubung dakwaan kehilangan sarung pasport di kaunter Imigresen yang tular baru-baru ini berpunca daripada salah faham.
Peguam, Mohammad Shafiee Afendi yang mewakili wanita yang tular selepas berkongsi pengalamannya di media sosial itu berkata, anak guamnya akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan undang-undang.
“Kedudukan anak guam saya sangat jelas, ia hanya salah faham, itu saja,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dikaitkan dalam kes itu melihat kejadian berkenaan dari sudut berbeza, manakala, anak guamnya mempunyai perspektif tersendiri terhadap apa yang berlaku.
“Jika komunikasi dibuat dengan lebih profesional dan beretika tanpa emosi, perkara ini mungkin terhenti di situ.
“Kami percaya sekiranya keadaan itu dikendalikan dengan lebih baik dan penuh tertib, salah faham ini tidak akan menjadi sebesar ini,” katanya.
Beliau berkata, anak guamnya yang pertama kali memohon pasport kekal komited memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Sudah tentu kami perlu melihat dan menunggu hasil siasatan, termasuk apakah langkah dan tindakan seterusnya yang akan diambil.
“Jika kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut), kami amat berbesar hati mendengarnya,” katanya.
Mohammad Shafiee berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan sebarang saman sivil atau tindakan undang-undang terhadap JIM pada peringkat ini.
Mengulas kehadiran mereka di IPD Dang Wangi hari ini, beliau menjelaskan anak guamnya bukan untuk memberikan keterangan kali kedua kerana keterangannya sudah direkodkan pegawai penyiasat.
Sebaliknya, mereka hadir untuk membuat laporan polis bagi memudahkan permohonan rasmi membuka sekatan dan menggantikan kad sim milik anak guamnya.
“Laporan polis hari ini pada asasnya adalah untuk mendapatkan pengesahan bahawa anak guam saya memerlukan penggantian kad SIM kerana telefon bimbitnya kini berada dalam simpanan polis untuk pemeriksaan forensik.
“Tanpa kad SIM yang aktif, dia berdepan kesukaran untuk menguruskan urusan harian,” katanya.
Mengulas kenyataan JIM mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, Mohammad Shafiee berkata, beliau dan anak guamnya tidak pernah melihat rakaman itu dan menyerahkan sepenuhnya penemuan kepada pihak polis.
Katanya, anak guamnya bukan seorang pempengaruh, sebaliknya hanya pengguna biasa yang berkongsi pengalaman ketika pertama kali berurusan di kaunter imigresen.
“Tiada niat jahat untuk memburukkan atau memfitnah sesiapa,” katanya.
Beliau berkata, anak guamnya yang baru berkahwin juga tidak mahu isu berkenaan dipanjangkan sehingga menyebabkan keluarganya terus berdepan tekanan emosi.
“Kami hanya mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin supaya semua pihak boleh meneruskan kehidupan,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, media melaporkan, polis sudah merakam keterangan daripada pegawai Jabatan Imigresen dan seorang wanita yang terbabit dalam dakwaan kes kecurian sarung pasport di pejabat Imigresen UTC Pudu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din berkata, keterangan pegawai Imigresen dirakam pada 23 Ogos lalu, manakala keterangan wanita berkenaan diambil pada keesokan harinya.
Siasatan itu, susulan satu hantaran wanita berkenaan di media sosial yang tular selepas dia berkongsi pengalamannya di pejabat Imigresen UTC Pudu pada 21 Ogos lalu.
Wanita itu mendakwa, dia secara tidak sengaja membawa keluar sarung pasport selepas tersilap menyangka sarung berkenaan diberikan secara percuma bersama pasport baharunya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

