suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Puluhan helikopter masih beroperasi setiap hari termasuk dari sektor swasta bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir glasier di Nepal,” kata rakyat Malaysia bermastautin di negara berkenaan, Mohd Noor Mat Amin yang dikenali sebagai pendaki solo.
Mohd Noor berkata, helikopter berkenaan turut membantu membawa mangsa dari kawasan banjir ke tempat pemindahan serta menjalankan operasi menyelamat.
Katanya, cabaran ketika ini termasuk keadaan sebuah tasik di atas Tibet yang paras airnya semakin meningkat dan sedang dipantau rapat.
“Ketika ini beberapa laluan utama masih ditutup menyebabkan perjalanan darat perlu menggunakan laluan alternatif.
“Kebanyakan laluan alternatif ketika ini hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, dia sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Nepal untuk berkongsi maklumat berkaitan keadaan semasa.
Mohd Noor yang kini tinggal di Pokhara, Nepal berkata, dia sebelum ini berhasrat ke hospital bagi membantu mengenal pasti mangsa dari Malaysia, namun perkara itu sukar dilakukan kerana keadaan jenazah yang sudah berubah.
“Tambahan pula kalau orang Malaysia, keadaan jasad dah berubah. Macam mana kita nak kenal,” katanya.
Menurutnya, masyarakat Nepal kini berganding bahu membantu kerajaan menghadapi bencana itu termasuk melalui sumbangan.
“Yang saya tengok di sini, masyarakat Nepal memang berganding bahu membantu kerajaan. Malah, budak sekolah pun turut memberi sumbangan walaupun hanya dengan jumlah kecil,” katanya.
Mohd Noor berkata, kerajaan Nepal turut menerima bantuan daripada beberapa negara lain bagi membantu usaha menangani bencana berkenaan termasuk dari China dan India.
“Saya masih berharap pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) diberi kebenaran untuk membantu operasi SAR dan mengenal pasti mangsa terutama rakyat Malaysia yang terjejas dalam bencana berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, ekspedisi mendaki yang diiringinya masih diteruskan seperti dirancang, namun laluan perjalanan terpaksa diubah susulan keadaan semasa.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan angka korban akibat banjir glasier di kawasan Himalaya meningkat kepada 1,066 orang manakala 4,462 lagi masih hilang selepas gelombang besar air sejuk, batu dan serpihan melanda Nepal dan China.
Bencana itu berlaku selepas runtuhan glasier di kawasan altitud tinggi mencetuskan gelombang besar yang mengalir deras ke hilir pada Rabu lalu memusnahkan penempatan dan meninggalkan kemusnahan di sepanjang laluan di Nepal.
© New Straits Times Press (M) Bhd


