sukan@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Hasrat pelari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sriven Tan untuk memecahkan rekod temasya tidak kesampaian, namun dia tetap mengubat kekecewaan itu dengan meraih emas acara 10,000 meter jalan kaki lelaki Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, di Arena UM, hari ini.
Sriven, yang baru kembali daripada kecederaan selama setahun, bagaimanapun kekal tenang untuk menamatkan perlumbaan dalam masa 52 minit 11.53 saat, sekali gus menghadiahkan emas buat UPSI.
Pelari berusia 21 tahun itu pada awalnya menyasarkan untuk memecahkan rekod temasya 48:50.08 yang dilakukan Muhammad Khairil Harith Harun pada 2014, namun tiga amaran berkaitan teknik menyebabkan dia terpaksa memperlahankan rentak bagi mengelak daripada dibatalkan penyertaan.
“Sasaran saya memang untuk pecahkan rekod, tetapi mungkin disebabkan teknik saya, juri sudah beri tiga amaran. Saya masuk ke kotak penalti dan kalau dapat satu kad lagi, saya akan dibatalkan penyertaan.
“Jadi saya hanya kekalkan rentak untuk emas UPSI. Saya teruskan perlumbaan dan habiskan saingan,” katanya.
Sriven berkata, keadaan cuaca yang baik membantu usahanya menamatkan perlumbaan, selain mengakui kejayaan itu cukup bermakna selepas hanya mempunyai tempoh pemulihan singkat daripada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) minggu lalu.
“Saya baru habis SUKMA minggu lepas dan mendapat tempat ketiga. Selepas itu saya hanya mempunyai seminggu untuk pulih daripada latihan SUKMA sebelum bertanding di SUKIPT.
“Jadi saya rasa sangat baik dan gembira dengan kemenangan ini,” katanya.
Kejayaan Sriven turut menyaksikan Khor Jing Hong dari Universiti Malaya (UM) meraih perak dengan catatan 52:40.62, manakala Muhammad Ammar Mohd Rafi dari UPSI membawa pulang gangsa selepas merekodkan 54:03.74.
Walaupun gagal mencapai sasaran memecahkan rekod, Sriven kini mahu mengalihkan fokus kepada beberapa kejohanan penting termasuk Grand Final dan Sukan Universiti ASEAN (AUG), sebelum memburu cabaran lebih besar pada Sukan SEA tahun depan.
“Selepas ini ada Grand Final dan AUG. Tahun depan pula ada Sukan SEA. Kami akan terus berjuang untuk itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


