Pitahati bawa muzik Malaysia ke AXEAN Festival 2026, Bali

Pitahati bawa muzik Malaysia ke AXEAN Festival 2026, Bali

PETALING JAYA: Kumpulan psychedelic rock Malaysia, Pitahati, bakal membawa nama negara ke pentas AXEAN Festival 2026 di Jimbaran Hub, Bali, Indonesia, pada 29 dan 30 Ogos ini.

Pitahati merupakan antara tiga wakil Malaysia yang terpilih membuat persembahan pada edisi keenam festival berkenaan, bersama MASDO serta kolaborasi Lil Asian Thiccie dan DJ Magn3sium.

Menurut Pitahati, AXEAN Festival tahun ini menghimpunkan lebih 40 artis di tiga pentas, selain menampilkan persidangan, sesi networking dan aktiviti pembangunan industri muzik.

Katanya, penyertaan itu bukan sekadar peluang membuat persembahan di luar negara, sebaliknya ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari Asia Tenggara serta rantau lain.

“Bila kita pergi ke festival macam AXEAN, kita bukan datang sekadar untuk bermain, Kita juga datang untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam muzik di rantau ini, berkenalan dengan artis dan orang industri lain, dan bawa muzik kita ke ruang yang mungkin sebelum ini belum pernah kita sampai,” katanya dalam kenyataan.

Pitahati bawa muzik Malaysia ke AXEAN Festival 2026, Bali

AXEAN Festival memberi tumpuan kepada pertukaran serta eksport muzik serantau dan sejak penubuhannya pada 2020, platform berkenaan telah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara selain menghimpunkan ratusan delegasi industri dari pelbagai negara.

Pitahati berkata, kehadiran band tempatan dalam platform sebegitu penting bagi memastikan muzik Malaysia terus menjadi sebahagian daripada perkembangan industri muzik Asia Tenggara.

“Kami rasa penting untuk band Malaysia berada dalam ruang sebegini. Asia Tenggara ada banyak muzik yang menarik, dan kita mahu menjadi sebahagian daripada perbualan itu.

“Harapnya persembahan Pitahati di Bali nanti boleh membuka lebih banyak peluang untuk muzik kami bergerak di luar Malaysia,” katanya.

Selain Pitahati, edisi tahun ini turut menampilkan artis dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis dan beberapa negara lain.

Penyertaan itu dilihat sebagai satu lagi langkah Pitahati dalam membawa identiti muzik Malaysia kepada khalayak lebih luas, selain membina hubungan dengan komuniti muzik di Asia Tenggara.

Scroll to Top