Tiada sebarang isu sekiranya kerajaan meluluskan sesuatu peruntukan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, selagi tindakan berkenaan tidak menyanggahi undang-undang dan Perlembagaan.
Kerajaan berkuasa berkuasa boleh buat apa sahaja
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman menyatakan kerajaan yang masih berkuasa sebelum pembubaran DUN mempunyai kuasa untuk membuat dasar serta mengumumkan peruntukan.
“Kerajaan yang berkuasa dan memerintah boleh membuat apa sahaja polisi asalkan polisi tersebut tidak menyanggahi undang-undang dan juga Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada SPRM akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan peruntukan RM180,000 disalurkan kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sehari sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan.
Foto: NSTP (Mohd Fadli Hamzah)
Kerajaan sementara tidak boleh buat sesuatu polisi baharu
Menurut Abd Halim lagi, sekiranya peruntukan tersebut benar-benar diumumkan sehari sebelum DUN dibubarkan, kerajaan ketika itu masih merupakan kerajaan yang sah dan mempunyai kuasa untuk membuat dasar serta keputusan berkaitan peruntukan.
Walau bagaimanapun, keadaan berbeza sekiranya peruntukan atau dasar baharu dibuat selepas DUN dibubarkan ketika kerajaan berada dalam tempoh kerajaan sementara.
Ujarnya kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar baharu atau memberikan peruntukan yang boleh mengikat kerajaan yang bakal dibentuk selepas pilihan raya.
“Jika seandainya peruntukan tersebut diisytiharkan ataupun diberikan di dalam waktu ‘caretaker government’, iaitu selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan, itu berbeza.
“Kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu polisi baharu bagi mengikat kerajaan yang akan datang,” jelasnya.
Foto: NSTP (Mohd Fadli Hamzah)
Dalam pada itu, beliau menegaskan kenyataannya tidak bermaksud SPRM mengesahkan peruntukan berkenaan bebas daripada sebarang unsur rasuah atau penyelewengan.
Sebaliknya, penilaian terhadap perkara tersebut hanya boleh dibuat berdasarkan fakta serta laporan yang diterima pihak berkuasa.
Sumber: Buletin TV3 ( Syafiqah Damanhuri)

